mood


Terdapat ralat dalam alat ini

Khamis, 1 Disember 2011

Perumpamaan




PERUMPAMAAN
Bagai air titik ke batu
Orang yang bodoh susah untuk menerima sesuatu pengajaran.
Contoh: Mengajar kamu ini bagai air titik ke batu kerana sudah beberapa kali saya ajar mengenal huruf-huruf, tetapi masih juga tidak dapat.

Bagai anjing melintang denai
Seseorang yang sombong menunjukkan kesombongannya.
Contoh: Pak Malim bertambah sombong sekarang semenjak anaknya mendapat jawatan tinggi di pejabat kerajaan.

Bagai anjing tersepit di pagar
Keadaan serba salah.
Contoh: Pemuda itu kelihatan bagaikan anjing tersepit semenjak rahsia perbuatan jahatnya terbongkar.

Bagai anjung berat sebelah
Sesuatu keputusan yang tidak adil.
Contoh: Mereka tidak berpuas hati kerana Tok Ketua membuat keputusan bagai anjung berat sebelah.

Bagai api dengan asap
Tidak dapat dipisahkan.
Contoh: Persahabatan Mamat Cicak dengan Deraman Tapung sungguh akrab bagaikan asap dengan api.

Bagai api dengan sabut
Bahaya mudah berlaku di atas orang yang lemah.
Contoh: Kami orang yang lemah mudah sahaja mendapat kesusahan tidak ubah bagai api dengan sabut.

Bagai api makan dalam sekam
Kejahatan berlaku dalam keadaan senyap.
Contoh: Sekarang baru kita tahu bahawa pemuda itu bagai api makan sekam kerana nampak sahaja baik, tetapi rupa-rupanya dia pengedar dadah.

Bagai aur ditarik songsang
i. Membuat kerja tidak mengikut peraturan. ii. Menyuruh orang malas menyiapkan kerja.
Contoh: i. Majid menghadapi kesukaran untuk menyiapkan kerjanya kerana dia membuat kerja bagai aur ditarik songsang. ii. Segala kerja tidak akan siap jikalau diberikan kepada orang yang bekerja bagai umpama aur ditarik songsang.

Bagai ayam ditambat disambar helang
Tunang / isteri yang dirampas / dilarikan oleh orang berkuasa / orang jahat / zalim.
Contoh: Encik Johan berasa sedih kerana kekasihnya dirampas orang dengan tiba-tiba bagai ayam ditambat disambar helang.

Bagai ayam lepas bertaji
Serba salah hendak menolong orang yang garang / bengis.
Contoh: Pak Haji Itam terjatuh ke dalam parit dan saya rasa serba salah hendah menolongnya bagai ayam lepas bertaji kerana dia seorang yang bengis.

Bagai ayam mengeram telur
Muka perempuan yang merah dan berseri.
Contoh: Mak cik Ton itu sejak muda-muda lagi memang cantik kerana mukanya bagai ayam mengeram telur.

Bagai bulan dipagar bintang
Kecantikan gadis / wanita tiada bandingannya.
Contoh: Zaleha memang terkenal sebagai anak gadis yang paling cantik di kampung kerana dia bagai bulan dipagar bintang.

Bagai isi dengan kuku
Persahabatan yang tidak pernah berpisah.
Contoh: Persahabatan antara Amran dengan Hamid bagai isi dengan kuku kerana mereka bersahabat baik sejak kecil lagi.

Bagai kacang lupakan kulit
Orang tidak tahu mengenang budi / asal usulnya.
Contoh: Dia betul-betul bagai kacang lupakan kulit kerana berpura-pura tidak ingat akan pertolongan saya.

Bagai kambing dijunjung
Orang penakut menjerit ketakutan.
Contoh: Mariam menjerit bagai kambing dijunjung kerana menyangka kain putih itu hantu.

Bagai kerbau runcing tanduk
Terkenal kerana kejahatan.
Contoh: Orang kampung sudah kenal Mat Jusuh itu bagai kerbau runcing tanduk.

Bagai kumbang putus tali
i. Terlepas daripada kesengsaraan. ii. Pergi tidak balik-balik lagi. iii. Membuat kerja dengan pantas.
Contoh: Mail berasa dirinya bagai kumbang putus tali sesudah bebas dari penjara.

Bagaimana gendang, begitulah tarinya
Ikut perintah.
Contoh: Sekarang kamu berkerja di pejabat ini dan kamu mesti patuh pada peraturan kerana bagaimana gendang, begitulah tarinya.

Bagai menatang minyak yang penuh
Memelihara anak dengan penuh kasih dan jagaan teliti.
Contoh: Rahim dan isterinya menjaga anak bagai menantang minyak yang penuh.



Bagai nangka masak gugur
Suatu bunyi orang gemuk jatuh.
Contoh: Lelaki gemuk itu jatuh dari tangga bagai nangka masak gugur.
Bagai orang terkena beragih
Sentiasa tidak puas hati apa yang diterima
Contoh: Dia ibarat orang terkena beragih kerana asyik merungut mengenai bantuan banjir baru-baru ini.

Bagai panas mengandung hujan
Ketawa tetapi di dalam hati sangat menderita.
Contoh: Jenab nampak sahaja gembira tetapi hidupnya menanggung derita bagai panas mengandung hujan.

Bagai semut menghimpun melukut
Rajin dan usaha akhirnya mendapat kejayaan.
Contoh: Raju kuat dan rajin bekerja bagai semut menghimpun melukut.

Bak bujang setahun sudah bertetak
Menjadi sombong setelah menjadi jutawan segera.
Contoh: Sekarang Pak Majid sombong bak bujang setahun sudah bertetak setelah mendapat wang pampasan pengambilan tanah di Sepang.

Bak menanti orang dahulu, bak melalu orang kemudian
Sesuatu pekerjaan yang sia-sia.
Contoh: Perbuatan lumba haram kamu itu tiada faedah bak menanti orang dahulu, bak melalu orang kemudian.

Bak rasa di liang lahad
Rasa kesunyian.
Contoh: Aku bak rasa di liang lahad, sudahlah isteri telah meninggal dunia, anak-anak pula tidak menjengah.

Laksana bulan empat belas ( bulan purnama)
Rupa paras yang cantik.
Contoh: Jamilah anak gadis Pak Lebai yang Malik tergila-gila itu memang sungguh cantik laksana bulan empat belas.

Laksana garam dengan asam
Jodoh ditentukan oleh Tuhan, kita tidak dapat menjangkakan.
Contoh: Walaupun Minah tinggal di Johor dan Ayub tinggal di Kelantan, mereka bertemu dan diijabkabulkan.

Laksana kain putih
Orang lembut ikut sahaja apa yang disuruh.
Contoh: Pak Latif itu laksana kain putih, mudah kalau kita minta tolong.


Laksana kijang ditambat dengan rantai emas sekalipun, jika terlepas ke hutan jua perginya
Kemewahan di tempat orang tidak boleh mengatasi kerinduan pada tempat sendiri.
Contoh: Walaupun Encik Musa hidup mewah di Jerman, namun jika ada peluang, dia tetap pulang ke negeri asal, laksana kijang ditambat dengan rantai emas sekalipun, jika terlepas ke hutan jua tempatnya.

Laksana lembu kasi
Orang badan besar tetapi penakut.
Contoh: Kamu ini badan sahaja besar, laksana lembu kasi, bunyi burung hantu pun kamu takut.

Laksana melawan angin
Kehendak orang atasan tidak dapat dihalang oleh orang bawahan.
Contoh: Ikut sahaja perintah Ketua Pejabat itu kerana kita ini laksana melawan angin. kata Raju pada Mail.



Seperti abu di atas tunggul
Mudah sahaja dihalau.
Contoh: Kita ini seperti abu atas tunggul kerana pada bila-bila masa sahaja boleh dihalau, kata Talib.

Seperti air di dalam kolam
Orang yang sentiasa tenang.
Contoh: Haji Daud masih seperti air dalam kolam, walaupun perniagaannya semakin merosot.

Seperti air digenggam tidak tiris
Orang lokek / kedekut / bakhil.
Contoh: Makcik Siah seperti air digenggam tidak tiris kerana dia rela berlapar daripada menghabiskan wang.

Seperti anai-anai makan kayu
Orang yang tekun membuat kerja akhirnya mendapat kesenangan.
Contoh: Encik Halim sudah menjadi jutawan sekarang setelah bertahun-tahun membuat kerja keras seperti anai-anai makan kayu.

Seperti anak nakhoda kasap, hujung hilang pangkal lesap
Kerugian akibat daripada kurang pengetahuan dan kemahiran dalam sesuatu bidang.
Contoh: Ayah bimbang kamu akan jadi seperti anak nakhoda kasap, hujung hilang pangkal lesap, Pak Mat memberi nasihat kepada anaknya.


Seperti anjing buruk kepala
Orang jahat dipandang hina oleh masyarakat setelah jatuh sakit.
Contoh: Meskipun dia sedang sakit, namun dia dihalau seperti anjing buruk kepala kerana kejahatannya telah diketahui orang kampung.



Seperti anjing dengan bayang-bayang
Orang tamak selalu rugi.
Contoh: Kamu janganlah jadi seperti anjing dengan bayang-bayang, nanti pada akhirnya kamu juga kecewa.

Seperti anjing dengan kucing
Dua orang sering bertelingkah.
Contoh: Hussien dan Hassan seperti anjing dengan kucing kerana selalu bertengkar.
Seperti anjing makan muntahnya
Orang yang tamak tidak dapat membezakan baik buruk.
Contoh: Dia seperti anjing makan muntahnya kerana tidak mempedulikan halal dan haram semata-mata tamak pada wang.

Seperti anjing menggonggang tulang
Orang yang tamak sesuatu benda yang disukainya.
Contoh: Pak Tahir seperti anjing menggonggong tulang kerana tidak pernah berasa cukup dengan apa yang dapat.

Seperti anjing menyalak bukit
Pekerjaan yang sia-sia.
Contoh: Kamu tidak usahlah membantah arahan itu kerana perbuatan kamu seperti anjing menyalak bukit.

Seperti antah melukut, lapar sangat baru berguna
Jika terdesak yang buruk boleh digunakan.
Contoh: Barang buruk ini jangan terus dibuang kerana mungkin boleh digunakan, seperti antah melukut, lapar sangat baru berguna.

Seperti api di dalam sekam
Seseorang membuat perkara jahat yang orang tidak ketahui / buat jahat dalam diam.
Contoh: Dari air muka nampaknya baik dan pendiam, tetapi dia rupa-rupanya api dalam sekam.

Seperti ayam bertelur di padi mati kelaparan
Orang yang hidup menderita di negeri makmur.
Contoh: Jikalau kita malas berusaha, hidup kita akan menjadi seperti ayam bertelur di padi mati kelaparan, walaupun negara ini mewah.

Seperti ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
Orang miskin terpaksa bekerja dapatkan rezeki untuk hidup.
Contoh: Bagaimana dia hendak membayar yuran sekolah anaknya, sedangkan hidupnya pun seperti ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang?

Seperti ayam kehilangan ibu
Orang yang hilang tempat bergantung.
Contoh: Kanak-kanak yang terlibat dengan bencana tsunami hidup mereka seperti ayam kehilangan ibu.


Seperti ayam mengeram telur
Rupa paras wanita yang cantik.
Contoh: Wajah peragawati itu sungguh cantik seperti ayam mengeram telur.

Seperti ayam termakan rambut
Bunyi sesak nafas.
Contoh: Aku dengar suara kau semasa tidur tadi seperti ayam termakan rambut.

Seperti bangau di ekor kerbau
Orang yang tidak berpendirian.
Contoh: Janji Pak Deraman itu tidak boleh dipegang kerana dia seperti bangau di ekor kerbau.

Seperti Belanda minta tanah
Meminta sesuatu benda daripada orang dengan secara paksa.
Contoh: Pada mulanya dia tumpang duduk, kemudian dia memaksa kita jualkan tanah kepadanya, perbuatan ini seperti Belanda minta tanah.

Seperti belangkas
Perhubungan yang sangat erat dan sukar dipisahkan.
Contoh: Jalal dan Jalil seperti belangkas kerana ke mana sahaja mereka pergi tidak pernah berenggang.

Seperti belut pulang ke lumpur
Balik ke tempat asal dan tidak keluar-keluar lagi.
Contoh: Semenjak balik ke kampung, Encik Malik sudah menjadi seperti belut pulang ke lumpur kerana tidak mahu tinggal di Kuala Lumpur lagi.

Seperti berebut kelongkong kelapa
Bergaduh disebabkan perkara yang remeh.
Contoh: Berbincanglah dengan baik dan jangan jadi seperti berebut kelongkong kelapa.

Seperti berjalan di atas bara
Rasa resah gelisah.
Contoh: Semenjak berlaku peristiwa berdarah baru-baru ini, hidup mereka di tempat itu seperti berjalan di atas bara.

Seperti bertih digoreng
Percakapan yang petah.
Contoh: Bunyi mulut Zaiton seperti bertih digoreng, kalau ada sedikit pertengkaran.


Seperti buah padi, makin berisi makin tunduk, jangan seperti lalang, makin lama makin tegak
Semakin berilmu, seseorang itu perlu merendah diri, jangan sombong.
Contoh: Kalau kamu lulus pengajian kamu itu, janganlah sombong, ikutlah seperti buah padi, makin berisi makin tunduk, jangan seperti lalang, makin lama makin tegak.



Seperti bulan dengan matahari
Pasangan yang sepadan / secocok.
Contoh: Pasangan pengantin itu sama sepadan seperti bulan dengan matahari.

Seperti bulan jatuh ke riba.
Mendapat keuntungan besar yang tidak diduga.
Contoh: Puan Roziah tidak menyangka perniagaannya semakin maju seperti bulan jatuh ke riba.
Seperti bumi dengan langit
Menunjukkan jarak begitu jauh perbezaannya.
Contoh: Pendapat awak dengan pendapat saya seperti langit dengan bumi jauhnya.

Seperti bunga raya kembang pagi
Keadaan muka orang berkulit muka selalu merah.
Contoh: Saya nampak Cik Zaitun sungguh ceria hari ini seperti bunga raya kembang pagi.

Seperti cacing di pelimbahan
Kehidupan yang terhina.
Contoh: Semenjak kematian kedua-dua orang tuanya, hidup Khalid seperti cacing di pelimbahan.

Seperti cebok dengan tempayan
Pasangan yang ideal / tidak boleh dipisahkan.
Contoh: Pengerusi dan setiausaha di dalam sesebuah persatuan harus saling bekerjasama kerana mereka seperti cebok dengan tempayan.

Seperti cekur jerangau belum habis lagi
Orang yang belum cukup umur atau masih mentah fikirannya.
Contoh: Kamu ini seperti cekur jerangau belum habis lagi kerana kerja semudah itu tidak dapat kamu siapkan.

Seperti cencaru makan petang
Mendapat kejayaan pada saat-saat akhir.
Contoh: Dalam perlawanan bola Piala Sumbangsih baru-baru ini, Pasukan Perak boleh dikatakan seperti cencaru makan petang.

Seperti cendawan tumbuh waktu pagi.
Benda yang banyak atau orang yang ramai.
Contoh: Pada masa kini, rumah-rumah kediaman begitu banyak seperti cendawan tumbuh waktu pagi.
Seperti cepu dengan tudungnya.
Perjodohan sesama berilmu.
Contoh: Perkahwinan mereka berdua seperti cepu dengan tudungnya kerana mereka sama-sama lulusan universiti.

Seperti cicak makan kapur
Orang yang mendapat malu disebabkan kebodohannya.
Contoh: Jamil seperti cicak makan kapur kerana dia tidak dapat menjawab soalan yang sangat mudah itu.

Seperti Cik Puan melangkah ular tidak lepas
Keadaan menunjukkan kelemahan wanita dan pendek langkahnya.
Contoh: Pada zaman kini, bukan semua wanita dapat dianggap seperti Cik Puan melangkah ular tidak lepas kerana ada di kalangan mereka sudah berjawatan tinggi.

Seperti cincin dengan pertama
Pasangan yang sepadan.
Contoh: Abang Jamal dan Kak Mastura tersenyum apabila kami mengatakan mereka seperti cincin dengan permata.

Seperti dua senyawa
Dua sahabat yang sungguh akrab.
Contoh: Kamil dengan Amin sungguh akrab seperti dua senyawa.

Seperti duduk di atas duri
Sentiasa gelisah dan tidak tenteram.
Contoh: Semenjak memegang jawatan penting itu, nampaknya dia seperti duduk di atas duri.

Seperti dulang dengan tudung saji
Pasangan yang ideal
Contoh: Mereka suami isteri sangat sepadan seperti dulang dengan tudung saji.

Seperti durian menunjuk pangsa
Orang yang menunjukkan kekuatan dan kehebatan kepada orang.
Contoh: Dia suka menunjukkan kekuatannya seperti durian menunjukkan pangsa.

Seperti duri dalam daging
Sesuatu yang menyakitkan hati yang sukar dilupai.
Contoh: Memang sukar bagi kami untuk melupakan perbuatan khianat oleh pemuda itu kerana perbuatan tersebut seperti duri dalam daging.

Seperti duri sebatang terbuang
Orang berani / garang hidup melarat menyebabkan dia tidak dipedulikan.
Contoh: Pada muda dulu, dia sungguh garang, tetapi sekarang dia sudah tua dan hidup seperti duri sebatang terbuang kerana tidak dipedulikan oleh sesiapa pun lagi.

Seperti embun di hujung rumput
Kasih sayang yang tidak kekal.
Contoh: Bagaimana mendalamnya kasih sayang Jamilah kepada Jamil, namun berakhir dengan perpisahan juga.

Seperti gadis julung bersubang, bujang sulung berkeris
Orang kaya baru berlagak sombong.
Contoh: Saya lihat Encik Kamal kini sudah banyak perubahan kerana dia seperti gadis julung bersubang, bujang sulung berkeris.



Seperti gagak menggonggong telur
Lelaki berkulit hitam beristeri berkulit putih.
Contoh: Pasangan suami isteri itu, meskipun seperti gagak menggonggong telur, namun mereka hidup bahagia.
Seperti gajah berpaling
Orang yang gemuk sukar berpaling ke belakang.
Contoh: Perempuan gemuk gedempol itu susah benar hendak berpusing ke belakang kerana seperti gajah berpaling.

Seperti gajah masuk kampung
Orang yang tidak pandai menyesuaikan diri dengan keadaan.
Contoh: Kalau kamu ke majlis itu, pandai-pandailah suaikan diri, jangan pula seprti gajah masuk kampung, Encik Ahmad menasihati anaknya.

Seperti gajah putih ditambat
Orang yang menjadi beban kepada orang lain.
Contoh: Dia menjadi seperti gajah putih ditambat dalam syarikat itu kerana dia sebenarnya tidak cukup bekerja.

Seperti gajah rompong belalai
Raja / pemimpin yang hilang kuasanya.
Contoh: Semenjak tidak memegang jawatan tinggi lagi, beliau kini seperti gajah rompong belalai, ada pangkat tiada kuasa.

Seperti gergaji dua mata
Orang yang mendapat kedua-dua belah pihak.
Contoh: Sikap Ibrahim tidak ubah seperti gergaji dua mata kerana di sana sokong, di sini pun sokong.

Seperti gula di dalam mulut
Sesuatu yang sangat disukai.
Contoh: Faridah itu kalau dapat menonton televisyen tidak ubah seperti gula di dalam mulut.

Seperti gunting di dalam lipatan
Perbuatan khianat oleh orang diberi kepercayaan.
Contoh: Sungguh tidak disangka kerana dia itu rupa-rupanya seperti gunting dalam lipatan.

Seperti gunting makan di hujung
Kata-kata pedas daripada orang bijaksana tidak disedari.
Contoh: Kata-kata pedas itu sebenarnya seperti gunting makan di hujung kerana tidak disedari oleh orang ramai, kecuali orang yang tajam fikiran sahaja.

Seperti halilintar membelah bumi
Bunyi yang sangat kuat dan bising.
Contoh: Bunyi enjin jet pejuang TUDM yang mendarat di lapangan terbang seperti halilintar membelah bumi.



Seperti harimau beranak muda
Orang yang sangat garang.
Contoh: Pak Abu sangat garang seperti harimau beranak muda kerana sedikit kesilapan pun dia terus berang.

Seperti harimau menunjukkan belangkan
Menunjukkan kegagahan dan kehebatan.
Contoh: Para pesilat menunjukkan kekuatan masing-masing seperti harimau menunjukkan belang.

Seperti harimau menyembunyikan kukunya
Orang menyembunyikan kekuatan, kekuasaan, dan kehebatan.
Contoh: Tok guru silat itu sentiasa bersikap seperti harimau menyebunyikan kukunya apabila berada di dalam gelanggang silat.

Seperti harimau terlepas tangkapan
Orang yang sangat bengis.
Contoh: Mat Husin itu walaupun sudah tua, namun masih bersikap seperti harimau terlepas tangkapan.

Seperti haruan makan anak
Bapa atau pemimpin yang tidak boleh dipercayai.
Contoh: Datuk pengarah di syarikat itu boleh diibaratkan seperti haruan makan anak kerana dia selalu menggelapkan wang syarikat.

Seperti hujan jatuh ke pasir
Buat baik kepada orang yang tidak mengenang budi.
Contoh: Kamu tidak perlu berbudi kepada orang itu kerana, dia ibarat hujan jatuh ke pasir.

Seperti ikan di dalam air
Keadaan yang sangat seronok.
Contoh: Aku sungguh seronok sekarang bak kata orang seperti ikan di dalam air setelah dapat bertugas di bandar.

Seperti ikan di dalam belanga
Keuntungan yang pasti dapat.
Contoh: Marilah berkongsi berniaga dengan aku kerana perniagaan ini seperti ikan di dalam belanga, kata Encik Yusoff


Seperti ikan di dalam belat
Keadaan kesesakan disebabkan terkepung.
Contoh: Perompak itu tidak dapat berbuat apa-apa lagi, seperti ikan di dalam belat, kerana dia sudah dikepung oleh pasukan polis.

Seperti ikan kena tuba
Keadaan orang yang tidak berdaya.
Contoh: Nelayan yang baru ditemui itu seperti ikan kena tuba kerana dia sudah beberapa hari hanyut di laut.

Seperti ikan pulang ke lubuk
Perantau pulang ke kampung payah hendak merantau lagi.
Contoh: Encik Musa seperti ikan pulang ke lubuk setelah merantau ke Jerman selama lebih suku abad.
Seperti ilmu padi hampa, makin lama makin mencangak
Orang yang bodoh tetapi bercakap besar.
Contoh: Dia suka cakap besar tetapi hasilnya tiada tidak ubah seperti ilmu padi hampa, makin lama makin mencangak .

Seperti itik mendapat air
Gembira kerana dapat apa yang dihajati.
Contoh: Rahmah sungguh gembira sekarang seperti itik mendapat air kerana dia sudah menerima surat tawaran memasuki universiti.

Seperti itik mendengar guruh di langit.
Mengharapkan keuntungan yang belum pasti.
Contoh: Kamal berangan-angan akan menjadi kaya dalam perniagaannya, bak kata pepatah seperti itik mendengar guruh di langit.

Seperti kacang direndang
Menunjukkan bunyi suara yang bertalu-talu.
Contoh: Mengapa riuh seperti kacang direndang di kedai kopi Pak Mat pada pagi ini?

Seperti kacang lupakan kulit
Orang tidak mengenang budi atau asal usul.
Contoh: Saya tidak meminta apa-apa balasan, namun sikap Rozi itu sekarang tidak ubah seperti kacang lupakan kulit.

Seperti kaca terhempas ke batu
Perasaan yang amat kecewa.
Contoh: Hatinya remuk redam seperti kaca terhempas ke batu kerana kegagalannya melanjutkan pelajaran ke seberang laut.

Seperti kaduk naik junjung
Orang yang lupa diri setelah mendapat kesenangan.
Contoh: Perangai dia sudah berubah seperti kaduk naik junjung setelah menjadi orang kaya baru.

Seperti kambing dikuliti hidup-hidup
Perihal rasa sangat sakit.
Contoh: Saya rasa sungguh sakit seperti kambing dikuliti hidup-hidup akibat dilanggar kereta itu.

Seperti kambing dimandikan pagi
Orang yang culas dalam membuat sesuatu pekerjaan.
Contoh: Afif memang pemalas seperti kambing dimandikan pagi kerana dia belum siap membuat kerja itu.



Seperti kapal naik pemidangan
Persiapan tidak kena pada tempatnya.
Contoh: Saya nampak persiapan kamu ini seperti kapal naik pemidangan.

Seperti kapas di busar
Sesuatu yang sangat putih
Contoh: Walaupun dia sudah tua, namun giginya masih putih seperti kapas di busar.

Seperti katak di bawah tempurung
Berpengetahuan sempit
Contoh: Dia tidak sedar dia seperti katak di bawah tempurung tetapi mengaku dia orang berpengetahuan.

Seperti katak disimbah air
Keadaan seseorang yang tidak dapat jawab soalan.
Contoh: Dia kelihatan seperti katak disimbah air apabila soalan yang diajukan kepadanya tidak dapat dijawab.

Seperti katak, sedikit hujan banyak bermain
Pemalas banyak helah daripada keuzuran.
Contoh: Orang yang malas banyak helahnya seperti katak, sedikit hujan banyak bermain.

Seperti kebun tidak berpagar
Hukuman yang tidak adil dan saksama.
Contoh: Hukuman itu seperti kebun tidak berpagar.

Seperti keldai
Keadaan kebodohan.
Contoh: Jangan jadi bodoh seperti keldai.

Seperti keli dalam lubang
Orang yang selalu bersungut tetapi tidak tahu apa yang disungutkan.
Contoh: Maniam bersungut tetapi sungutannya itu seperti keli dalam lubang.

Seperti kena pedang bermata dua
Perasaan sakit hati.
Contoh: Kami berdiam sahaja kerana kata-kata Encik Ramzi itu seperti kena pedang bermata dua.

Seperti kera bercukur
Perbuatan orang bodoh yang merosakkan peralatan moden.
Contoh: Kamu betul-betul seperti kera bercukur kerana telah merosakkan komputer ini.

Seperti kera kasihkan anaknya
Kasih sayang kepada anak sehingga mendatangkan keburukan.
Contoh: Saya harap kamu sayangkan anak janganlah sampai menjadi seperti kera kasihkan anaknya.


Seperti kera kena belacan
Keadaan orang yang tidak boleh duduk diam.
Contoh: Perangai Ripin di dalam kelas tidak ubah seperti kera kena belacan.

Seperti kera mendapat bunga
Orang yang tidak dapat menilai apa pemberian orang.
Contoh: Perangai Joyah tidak tahu menilai pemberian orang samalah seperti kera mendapat bunga.

Seperti kerbau dicucuk hidung
Orang yang mengikut telunjuk orang.
Contoh: Wak Demik seperti kerbau dicucuk hidung kerana apa yang disuruh dia tidak pernah membantah.

Seperti kijang lepas ke rimba
Orang yang telah kembali ke tempat asalnya dan sukar untuk berjumpa semula.
Contoh: Sekarang susah hendak jumpa dengan Encik Salleh seperti kijang lepas ke rimba kerana dia telah pulang ke kampungnya.

Seperti kucing berakan rumput
Orang yang terlalu susah atau sakit.
Contoh: Hidup Pak Mat sekarang seperti kucing berakan rumput.

Seperti kucing di atas tembok
Seseorang yang mempunyai dua tugas, tidak tahu manakah yang lebih penting.
Contoh: Maliki tidak dapat berbuat apa-apa seperti kucing di atas tembok kerana kedua-dua perkara itu harus diselesaikan dengan segera.

Seperti kunyit dengan kapur
Mudah mesra.
Contoh: Pertemuan antara kedua-dua belah pihak itu seperti kunyit dengan kapur.

Seperti kura-kura di atas dahan
Orang yang bodoh tidak dapat mengatasi kesulitan yang dihadapinya.
Contoh: Jani seperti kura-kura di atas dahan kerana dia belum dapat melangsaikan hutangnya.

Seperti kura-kura hendak memanjat pokok
Seorang yang hendak membuat kerja yang mustahil.
Contoh: Angan-angan itu samalah seperti kura-kura hendak memanjat pokok kerana mustahil akan terjadi.

Seperti lebah menghimpunkan madu
Orang rajin dan berusaha senang mendapat kejayaan.
Contoh: Kerajinan Encik Halim seperti lebah menghimpunkan madu kerana sekarang dia sudah menjadi orang kaya.



Seperti lebai sungguh berjanggut tidak berjubah
Tidak cukup sempurna syarat untuk diletakkan di sesuatu taraf.
Contoh: Rahmat belum cukup syarat untuk menjawat jawatan yang tinggi itu kerana dia seperti lebai sungguh berjanggut tidak bejubah.

Seperti membilang buah kerayung
Pekerjaan yang sia-sia.
Contoh: Tiada guna asyik melepak di tepi jalan kerana perbuatan itu seperti membilang buah kerayung.

Seperti membuka pekung di dada
Membuka keburukan diri sendiri kepada orang lain.
Contoh: Perbuatan Johan menceritakan keburukan adiknya kepada orang lain tidak ubah seperti membuka pekung di dada.

Seperti menambak gunung, menggarami laut
Memberi pertolongan kepada orang yang tidak memerlukan.
Contoh: Perbuatan Ramu menolong menanam pokok bunga di taman Encik Ghafar itu tidak ubah seperti menembak gunung, menggarami laut kerana di taman itu sudah penuh dengan pokok bunga yang cantik-cantik.

Seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung tidak berselerak.
Berhati-hati dalam melakukan sesuatu atau menyelesaikan masalah.
Contoh: Kita hendaklah berhati-hati membuat tindakan, bak kata orang seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung tidak berselerak.

Seperti mencurah air di daun keladi
Tidak memberi kesan.
Contoh: Nasihat saya ini seperti mencurah air di daun keladi kerana langsung tidak memberi kesan apa-apa kepadanya.

Seperti menendang landak
Orang kecil atau hina boleh membinasakan jika membuat jahat kepadanya.
Contoh: Jangan menghina pengemis itu kalau awak tidak mahu menjadi seperti menendang landak.

Seperti menghasta kain sarung
Perbuatan yang tidak berkesudahan.
Contoh: Karim membuat kerja itu seperti menghasta kain sarung.

Seperti merak mengigal di hutan
Orang bijak menunjukkan kebijaksanaan kepada orang yang bodoh.
Contoh: Pesilat muda itu seperti merak mengigal di hutan kerana berlagak menunjukkan kepandaiannya kepada tok guru silat.

Seperti minyak dengan air
Perkongsian yang tidak boleh bermuafakat.
Contoh: Menubuhkan satu persatuan daripada kalangan dua kelompok yang tidak ada tolak ansur samalah seperti minyak dengan air.

Seperti murai dicabut ekor
Orang yang suka bercakap menyebabkan riuh dan bising.
Contoh: Bunyi mulut Jenab seperti murai dicabut ekor sehingga mengganggu ustaz menyampaikan ceramahnya.

Seperti pacat kenyang
Seseorang meninggalkan tempat makan setelah kenyang.
Contoh: Dali seperti pacat kenyang kerana meninggalkan rumah yang yang pernah menyara hidupnya setelah merasa dirinya sudah berada dalam keadaan selesa.

Seperti pinang pulang ke tampuk
i. Orang yang balik daripada berdagang. ii. Penceraian yang merujuk semula.
Contoh: i. Sekarang Encik Rudi sungguh gembira seperti pinang pulang ke tampuk setelah bertahun-tahun berada di England. ii. Lijah berbaik semula dengan bekas suaminya, bak kata pepatah seperti pinang pulang ke tampuk.

Seperti pisau mata dua
Lain yang dikata, lain yang disampaikan.
Contoh: Milah seperti pisau mata dua kerana dia menyampaikan cerita lain daripada perkara yang sebenar kepada orang lain.

Seperti pisau raut, bongkok orang dibetulkan, bongkok sendiri tak boleh.
Seseorang yang boleh membetulkan orang lain, tetapi dirinya sendiri tidak terdaya.
Contoh: Sikap Haji Talib seperti pisau raut kerana kesilapan orang lain dapat diperbetulkan, tetapi kesilapan diri sendiri tidak terdaya.

Seperti pungguk rindukan bulan
Rindu kepada yang mustahil dapat bersama.
Contoh: Amin tergila-gilakan anak gadis hartawan itu, bagaikan pungguk rindukan bulan, sehingga menyebabkan badannya kurus kering.

Seperti rumput ditepi jalan
Menderita dalam kehidupan.
Contoh: Setelah berhenti daripada kerja itu, kehidupan Khalid seperti rumput di tepi jalan.

Seperti rusa masuk kampung
Perasaan canggung kerana tidak biasa dengan keadaan majlis seperti itu.
Contoh: Aku lihat Pak Leman itu sepertilah rusa masuk kampung semasa berada di majlis hari jadi baginda Sultan baru-baru ini, kata Azmi.

Seperti sampah hanyut
Seseorang yang sentiasa dihina.
Contoh: Kehidupan pengemis itu dihina seperti sampah hanyut kerana ke mana sahaja pergi, dia dihalau.

Seperti sayur dengan rumput
Kasih sayang terhadap orang lain tidak sama kasih sayang anak sendiri.
Contoh: Puan Jamilah sungguh kasih kepada anak angkatnya tetapi tidak sama kasih dengan anak sendiri seperti sayur dengan rumput.


Seperti si buta mendapat cincin
Orang yang baru keluar melihat tempat orang lain.
Contoh: Jadid rasa kagum apabila melihat piramid di Mesir, keadaannya seperti si buta mendapat cincin.

Seperti si kundung mendapat cincin
Orang yang mendapat kekayaan tetapi tidak dapat menikmati.
Contoh: Dia umpama si kudung mendapat cincin kerana wang pampasan yang diterima telah dilarang oleh mahkamah untuk menggunakannya.

Seperti sumbu pelita membakar diri untuk menerangi orang lain
Suatu pengorbanan untuk orang lain.
Contoh: Tugas para guru seperti sumbu pelita membakar diri kerana mendidik anak-anak muridnya supaya berjaya dalam hidup.

Seperti sutera dengan lukisan
Benda yang bernilai dapat tempat yang baik.
Contoh: Kitab-kitab lama bertulisan tangan itu seperti sutera dengan lukisan kerana kini disimpan di Perpustakaan Negara.

Seperti talam dua muka
Orang bermuka-muka di antara dua belah pihak yang bermusuhan.
Contoh: Kita tidak boleh percaya kepada Karim kerana dia itu talam dua muka.

Seperti tebu lepas ke mulut gajah
Memberi sesuatu benda kegemaran kepada orang gemar.
Contoh: Kalau memberi keris lama kepada Afidin tentulah seperti tebu lepas ke mulut gajah kerana dia berminat mengumpul keris.

Seperti telur di hujung tanduk
Sentiasa dalam keadaan kecemasan
Contoh: Keadaan pelayaran Datuk Azhar Mansur semasa menyeberangi Lautan Hindi adalah seperti telur di hujung tanduk.

Seperti tembikar, pecah satu, pecah semua
Masyarakat yang bermuafakat, satu mendapat kesusahan yang lain turut sama merasa.
Contoh: Perpaduan penduduk kampung itu seperti tembikar, pecah satu, pecah semua.

Seperti tikus jatuh ke beras
Kekayaan atau keuntungan tidak diceritakan kepada orang lain.
Contoh: Fow Law seperti tikus jatuh ke beras kerana dia tidak mahu sesiapa pun mengaut untung daripada lombong emas yang ditemuinya di Ulu Kelantan.

Seperti ular kena palu
Keadaan bengkang-bengkok
Contoh: Jalan raya ke Genting Highland seperti ular kena palu.



Seperti ular lidah bercabang
Orang yang tidak boleh dipercayai - bohong.
Contoh: "Kamu jangan percaya cakap dia, dia itu sepertilah ular lidah bercabang," pesan Asiah.

Umpama buluk, tercampak ke laut tak dimakan ikan, tercampak di darat tak dimakan ayam
Orang yang tidak berguna di sisi masyarakat.
Contoh: Hidup dia umpama buluk, tercampak ke laut tak dimakan ikan, tercampak di darat tak dimakan ayam menyebabkan dia merempat di tepi jalan.

Umpama bunga, mekar dipakai, layu dibuang
Menunjukkan kasih sayang yang tidak kekal.
Contoh: Kaum wanita harus berwaspada kepada lelaki kerana kita ini kadang-kadang umpama bunga, mekar dipakai, layu dibuang, Nasihat Rosidah.

Umpama burung, mata terlepas, badan terkurung
Perihal orang yang tidak mempunyai kebebasan walau dijaga dengan cukup sempurna.
Contoh: Zakiah kurus kering kerana hidupnya dengan Syed Jamal umpama burung, mata terlepas, badan terkurung.


Umpama kayu lampung, belum ditolak tumbang sendiri
Orang yang bodoh dan penakut mudah kena ugutan.
Contoh: Jamal umpama kayu lampung, belum ditolak tumbang sendiri, maka senang sahaja pihak lawan membuat ugutan.

Umpama lebah, mulut membawa madu, buntut membawa sengat
Gadis yang cantik rupa paras tetapi kelakuannya kurang sopan.
Contoh: Gadis itu nampak sahaja cantik tetapi sebenarnya umpama lebah, mulut membawa madu, buntut membawa sengat.

Umpama sayang-sayang buah kepayang, dimakan mabuk, dibuang sayang.
Sesuatu yang sangat disayangi hendak disimpan merosakkan badan hendak dibuang tidak dapat.
Contoh: Apa boleh saya buat kepadanya, dia umpama sayang-sayang buah kepayang, dimakan mabuk, dibuang sayang, kata Lijah.



1 ulasan:

  1. saye ingin mengambil sebahagian ayat awak yg bagus ni ,izinkan sayer ye

    BalasPadam