mood


Fish

Ahad, 4 Disember 2011

Nota Didik Hibur


1.0  Pengenalan

Didik hibur merupakan satu pembaharuan yang cuba diperkenalkan kepada murid - murid sebagai kaedah alternatif semasa proses pengajaran Bahasa Malaysia. Tujuannya supaya sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia menjadi seronok untuk diikuti murid- murid.Fokus pelaksanaan adalah kepada penguasaan kemahiran asas Bahasa Malaysia dalam kalangan murid melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Penghayatan dan apresiasi juga akan diberikan kepada Kesusasteraan Melayu untuk murid-murid sekolah menengah.

1.1  Latar Belakang Didik Hibur

Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran Bahasa Malaysia bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012.Keputusan ini dibuat berasaskan pertimbangan objektif berdasarkan kajian empirical dan saintifik, iaitu penemuan-penemuan atas dasar kajian yang khusus yang telah dilaksanakan. Dalam masa yang sama, Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia memberi sepenuh penumpuan dalam penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dengan memperkenalkan 12 langkah bagi maksud berkenaan selain transformasi kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah selaras dengan saranan Y.A.B Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengumumkan strategi untuk memartabatkan bahasa Melayu (MBM) serta memantapkan penguasaan bahasa Inggeris (MBI) di semua peringkat persekolahan.Penumpuan memperkasa penguasaan Bahasa Malaysia turut ditekankan. Oleh itu,Kerajaan akan mula melaksanakan transformasi kurikulum Bahasa Malaysia di sekolah rendah dan menengah yang mana akan memberi fokus kepada penguasaan asas kemahiranberbahasa dalam kalangan murid melalui pendekatan modular yang bersepadu, seimbang dan holistik merangkumi aspek kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa.Di sekolah rendah, kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa bagi merealisasikan hasrat transformasi berkenaan. Manakaladi peringkat sekolah menengah pula, transformasi kurikulum Bahasa Malaysia akan memberi penekanan kepada penghayatan dan apresiasi aspek Kesusasteraan Melayu. Kaedah pengajaran akan lebih interaktif, iaitu berkonsepkan didik hibur supaya pengajarannya lebih mudah dihayati dan difahami.

1.1.1   Apa Itu Didik Hibur ?

Didik Hibur bemaksud mendidik sambil menghibur. Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati. Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur dengan penekanan pelaksanaannya terhadap empat komponen sastera iaitu nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi. Oleh itu, keseronokan murid secara total dalam mempelajari Bahasa Malaysia akan dapat direalisasikan secara terancang dan bersistematik.

1.1.2       Ciri-Ciri Didik Hibur

i)            Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.
ii)          Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang  dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.Justeru murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif dan tertunggu - tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.
iii)             Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.
iv)      Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti Bahasa Malaysia.
v)             Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.
vi)        Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.
vii)        Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik tetapi terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.
viii)          Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya tetapi terkawal.
ix)            Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.

1.1.3   Bagaimana Pelaksanaannya ?

Didik hibur dilaksanakan secara penyerapan dalam pengajaran Bahasa Malaysia dengan berfokuskan kepada aktiviti mengguna dan memahami lirik lagu, bahasa indah, bahasa badan dan berpantun (dua kerat). Penyerapan ialah proses menyerapkan pelbagai bidang ilmu, nilai, murni, dan kemahiran bernilai tambah yang dipelajari semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia (Kementerian Pendidikan Malaysia 2001).Terdapat empat unsur penyerapan sedia ada dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, iaitu:

i)              Pelbagai bidang ilmu serta tema,
ii)             Semangat kewarganegaraan dan nilai murni masyarakat Malaysia,
iii)            Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, dan kemahiran bernilai tambah.

Didik hibur termasuk dalam penyerapan jenis pertama iaitu pelbagai bidang ilmu serta tema kerana iaitu penyerapan didik hibur menekankan empat bidang utama iaitu nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi. Dalam modul ini, penyerapan bermaksud proses menyerapkan pelbagai aktiviti nyanyian, bercerita, lakonan dan berpantun dua kerat dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia sekolah rendah dan menengah.

1.1.4       Objektif Didik Hibur

Terdapat tiga objektif pelaksanaan pendekatan didik hibur dalam pengajaran Bahasa Malaysia
di sekolah rendah dan menengah, iaitu:

i)              Mengguna dan memahami lirik lagu secara didik hibur;
ii)             Mengguna dan memahami bahasa yang indah dan bahasa badan dalam  lakonan dan bercerita; dan
iii)            Mengguna dan memahami pantun dua kerat secara didik hibur.

1.1.5       Apa Itu Bahasa Badan ?

Bahasa badan juga dikenali bahasa gerak badan merupakan sebahagian daripada proses komunikasi dan ia berperanan menunjukkan sebarang reaksi dalam perbualan sama ada positif ataupun negatif. Ia boleh membabitkan apa jua anggota badan seperti mata, kening, bibir, tangan ataupun lengan. Walaubagaimanapun pengguna perlu beringat ketika melakukan gerak badan bagi mengelakkan reaksi tidak selesa ketika berbual. Dalam konteks didik hibur bahasa badan merupakan ‘bahasa gerak badan’ yang digunakan untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian ketika menjalankan aktiviti lakonan, bercerita, nyanyian dan berpantun dua kerat.

1.1.6       Faktor Kejayaan Pelaksanaan Didik Hibur

a.     Guru

Dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah guru adalah segala-galanya (Pullias & Young 1982), yang akan menjalankan pelbagai peranan dalam bilik darjah (Syed Lutfi 1994). Ini bermakna kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:

i)              Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid-murid.
ii)             Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.
iii)            Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.
iv)            Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.
v)             Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.
vi)            Guru boleh membuat pelbagai suara.
vii)           Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.
viii)          Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.
ix)            Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak, dan
x)             Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel.

b.    Aktiviti

Kejayaan didik hibur secara kerkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang. Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:

i)              Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.
ii)             Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.
iii)     Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.
iv)      Aktiviti didik hibur boleh dilaksana, dijalan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.
v)             Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.
vi)            Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.
vii)      Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.

1.2  Nyanyian dalam Didik Hibur

Nyanyian merupakan salah satu aktiviti yang disarankan dalam didik hibur yang melibatkan perkembangan kreatif dan daya estetika. Aktiviti nyanyian yang dirancang dapat menyumbang kepada proses perkembangan murid-murid secara menyeluruh, meliputi perkembangan intelek, emosi, sosial dan fizikal. Dua kemahiran yang ditekankan adalah aktiviti menyebut seni kata lagu dengan jelas, manakala kedua murid dapat memahami seni kata lagu melalui persembahan nyanyian.

1.2.1       Aktiviti Nyanyian

a.     Definisi Nyanyian

Kamus Dewan (2000) mentakrifkan nyanyian sebagai satu gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. Manakala Kamarudin Husin (1999), pula melihat aktiviti menyanyi sebagai satu aktiviti yang berlaku dalam kehidupan sebenar dan boleh dibawa ke bilik darjah sebagai satu kegiatan lisan yang menarik.

b.    Kebaikan Aktiviti Nyanyian

i)              Menyumbang kepada kepelbagaian aktiviti bukan sahaja kepada proses pembelajaran tetapi juga pengalaman baru murid-murid sewaktu mempelajari bahasa. Ini mencetuskan perubahan dalam aktiviti yang lazim ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
ii)             Menyanyi adalah sesuatu yang menghiburkan. Justeru murid-murid berpeluang belajar dalam suasana yang menyeronokkan.
iii)            Menyanyi dapat mempertingkatkan motivasi kerana ia merupakan aktiviti yang  tertumpu kepada penglibatan murid sepenuhnya.
iv)            Menyanyi memberi peluang kepada murid-murid untuk terlibat sepenuhnya dalam aktiviti pembelajaran dan biasanya melibatkan seluruh bilik darjah.
v)             Menyanyi dapat membantu murid-murid mengingat kembali bahasa yang dipelajari dengan lebih baik berbanding aktiviti lain. Rentak, irama dan melodi semuanya boleh menerapkan perkataan-perkataan yang dipelajari ke dalam otak secara berkesan.
vi)            Lagu juga membantu murid-murid menguasai perbendaharaan kata, sebutan, intonasi, rima dan tekanan, struktur serta bentuk ayat.
vii)           Nyanyian menyumbang kepada sesi pengajaran guru yang menarik.
viii)          Nyanyian memberi pengukuhan yang baik dalam aspek kefahaman berbahasa.

c.     Prinsip Nyanyian

i)              Elak memilih lagu yang tidak mempunyai susunan kata yang betul dan salah dari segi tatabahasa. Ia juga tidak seharusnya mengandungi bahasa pasar, kuno atau dialek negeri tertentu. Pilihlah senikata dari lagu-lagu yang mengandungi bahasa yang standard (bahasa baku) dan diguna pakai sehari-harian.
ii)             Pilihlah lagu yang mempunyai melodi yang senang dipelajari dan diingati. Sebaik-baiknya murid sudah mampu melagukan melodinya sebelum mempelajari lirik lagu tersebut.
iii)            Lagu yang dipilih mempunyai kelajuan yang sederhana, iaitu tidak terlalu lambat dan tidak terlalu cepat. Lagu yang melodinya biasa didengar serta mudah dan senang diingat perlulah diberikan keutamaan.
iv)            Pilih lagu yang mempunyai banyak pengulangan seperti pengulangan melodi, perkataan dan sebagainya. Pengulangan memudahkan murid menguasai bahasa yang hendak dipelajari. Ini kerana pembelajaran bukan sahaja berlaku melalui penyampaian yang baik tetapi juga melalui pengulangan bahan pembelajaran.
v)             Sebaik-baiknya lagu yang dipilih itu hendaklah mengandungi cerita. Seperti kisah seseorang yang menceritakan sesuatu perasaan, pandangan atau pendapat.Contohnya lagu ‘Balik Kampung’ dan ‘Ayah dan Ibu’ nyanyian Sudirman Hj. Arshad, ‘Perigi Biru’ nyanyian Dato’ M. Daud Kilau dan sebagainya.
vi)            Bagi murid-murid yang berada ditahap rendah, lagu yang dipilih perlu mengandungi perbendaharaan kata yang terhad. Elakkan juga memilih seni kata lagu yang ada ayat yang pelbagai jenis kerana boleh menganggu pembelajaran mereka.

d.    Standard Kandungan Kurikulum

Menyebut dan memahami unsur dalam lagu melalui nyanyian secara didik hibur.

1.1 Menyebut seni kata lagu dengan jelas melalui persembahan nyanyian secara didik hibur.
1.2 Menyebut dengan jelas dan memahami seni kata lagu melalui persembahan nyanyian secara didik hibur.

e.     Prosedur Menjalankan Aktiviti Nyanyian

( i ) Pra Persediaan
Pada tahap ini, guru harus bijak memilih dan menentukan jenis lagu yang sesuai dengan murid serta sepadan dengan objektif pengajaran. Pertama, tentukan tahap kesusahannya, panjang pendek bahan, kekerapan mengulang perkataan, aspek bahasa yang hendak ditekankan, apakah tindakan susulan, bahan bantu mengajar yang diperlukan dan sebagainya. Jika perlu, guru kena mengubah suai atau menulis semula senikata lagu tersebut mengikut kesesuaian.

( ii ) Penyampaian
Guru boleh memilih untuk menggunakan kad imbasan perkataan dengan meminta murid-murid mencari maksud atau membina ayat mudah daripada perkataan berkenaan. Seterusnya, guru mengedarkan senikata lagu yang hendak disampaikan dan meminta murid-murid membaca dan mengenal pasti beberapa perkataan yang susah. Dalam masa yang sama, guru boleh memainkan CD lagu berkenaan dan memperdengarkannya kepada murid-murid. Buat latih nyanyian lagu tersebut mengikut baris ke baris, sehingga seluruh perenggan itu diingat. Guru perlu memberi perhatian kepada sebutan murid-murid. Pastikan setiap perkataan di dalam lagu tersebut, disebut dengan betul. Setelah menyanyi beberapa kali, guru bolehlah mengajar pula aspek bahasa yang hendak dipelajari. Terang dan latih mereka untuk menguasai bentuk ayat,atau strukturnya. Gunakan gambar untuk menjelaskan maksud atau gunakan bahasa badan untuk menggambarkan makna secara jelas dan tepat.

( iii ) Penutup
Guru menyanyikan lagu bersama-sama murid. Bagi tujuan pengukuhan, guru boleh menguji murid-murid secara bertulis tentang aspek bahasa yang telah diajar sebelumnya. Umpamanya murid-murid diminta menghasilkan sebuah dialog ringkas atau cerita pendek menggunakan kreativiti sendiri berdasarkan beberapa perkataan yang telah dikenal pasti dalam senikata lagu berkenaan. Guru juga boleh meminta murid untuk melukiskan gambar dalam lagu di atas sehelai kertas A4 menggunakan lakaran pensel yang tidak berwarna.

f.      Elemen Didik Hibur dalam Aktiviti Nyanyian

i)              Santai – Mendengar lagu dan membaca senikata lagu yang digemari.
ii)             Lucu – Mengubahsuai seni kata lagu mengikut jalan tema sendiri.
iii)            Seronok dan gembira – Banyak aktiviti nyanyian dan gerak badan.
iv)            Semangat mencuba – Usaha murid untuk menghasilkan cerita ringkas daripada tema atau perkataan dalam senikata lagu berkenaan.
v)             Tidak takut – Guru turut menyanyi bersama-sama murid.
vi)            Tidak stres – Murid berasa usaha mereka dihargai guru dan rakan-rakan.

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum
    Saya mohon share berkenaan didik hibur ni ya...

    Terima kasih

    BalasPadam