mood


Terdapat ralat dalam alat ini

Khamis, 1 Disember 2011

Kata Majmuk



air batu
air yang telah beku dan rasanya terlalu sejuk.
Contoh: Penjual ikan itu menyimpan ikan-ikan yang tidak habis dijualnya itu di dalam peti air batu supaya ikan-ikan itu tidak busuk.

air hujan
air yang turun atau menitik dengan banyak dari langit atau udara.
Contoh: Kanak-kanak itu sedang mandi air hujan dengan seronoknya di padang permainan itu.

alat tulis
semua perkakas atau kelengkapan yang digunakan untuk menulis, membaca, dan mengira serta melukis atau untuk tulis-menulis.
Contoh: Rani membeli alat tulisnya itu di Pustaka Seri Mutiara.

anak angkat
anak orang lain yang diambil atau dianggap sebagai anak sendiri atau bukan anak kandung.
Contoh: Oleh sebab Puan Rihana tidak dapat melahirkan anak, beliau terpaksa memelihara Liana sebagai anak angkatnya.

anak patung
barang permainan kanak-kanak, khususnya bagi kanak-kanak perempuan yang berbentuk manusia atau haiwan.
Contoh: Anita mendapat hadiah sebuah anak patung daripada ibunya pada hari jadinya yang keenam itu.

anak tiri
anak kepada isteri atau suami (seseorang) daripada perkahwinannya yang terdahulu.
Contoh: Encik Suhairi melayani anak tirinya itu seperti anak kandungnya sendiri.

arang batu
sejenis galian berwarna hitam yang digunakan sebagai bahan api untuk mengeluarkan tenaga.
Contoh: Kereta api wap pada zaman dahulu menggunakan arang batu sebagai bahan api untuk menggerakkan enjinnya.

badak sumbu
sejenis spesies badak besar yang bersumbu satu.
Contoh: Badak sumbu di dalam zoo itu berasal dari Afrika.

baja asli
bahan untuk menyuburkan tanam-tanaman atau tumbuh-tumbuhan yang berasal daripada najis haiwan, reputan, dan hasil pembakaran tumbuh-tumbuhan, iaitu bukan daripada bahan-bahan kimia.
Contoh: Pada zaman dahulu, petani-petani menggunakan baja asli untuk menyuburkan tanam-tanaman mereka.

baju kemeja
sejenis baju lelaki yang berkolar dan berlengan pendek atau panjang mengikut potongan Eropah.
Contoh: Lelaki yang memakai kemeja putih berlengan panjang itu ialah seorang pegawai di bank itu.

baju kurung
baju yang tidak berbelah di dada, berlengan panjang, dan agak labuh yang dipakai oleh kebanyakan perempuan Melayu.
Contoh: Gadis yang memakai baju kurung itu ialah kerani di Pejabat Pelajaran Daerah.

baju mandi
sejenis pakaian khas yang digunakan untuk mandi-manda di sungai, di laut atau di kolam renang.
Contoh: Suraya memakai baju mandi muslimah ketika berenang di dalam kolam renang di hotel penginapan keluarganya itu.

balai raya
bangunan khas untuk orang ramai atau orang awam menjalankan berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan atau mengadakan majlis umum.
Contoh: Penduduk kampung sedang berkumpul di balai raya itu untuk mendengar ceramah tentang kepentingan menjaga kebersihan daripada seorang pegawai kesihatan.

bapa angkat
orang yang mengambil atau menjadikan lelaki lain sebagai bapa sendiri atau orang yang tiada pertalian darah tetapi dianggap sebagai bapa sendiri.
Contoh: Encik Rizki telah menjadi bapa angkat kepada kedua-dua orang anak yatim itu.

bapa tiri
suami kepada ibu setelah bapa sendiri meninggal dunia atau bercerai dengan ibu itu.
Contoh: Bapa tiri Hakil amat mesra dengannya, walaupun ibu Hakim baru berkahwin dengan bapa tirinya itu.

batu kapur
batu yang berasal daripada hidupan laut yang mati berjuta-juta tahun dahulu yang membentuk kapur yang keras dan biasanya berwarna putih.
Contoh: Gua-gua di dalam bukit di sekitar bandar Ipoh adalah terdiri daripada gua batu kapur.
bawang merah
sejenis bawang yang kecil dan merah warnanya yang digunakan sebagai salah satu bahan masakan seperti gulai atau sayur-sayuran.
Contoh: Emak menggunakan beberapa ulas bawang merah untuk membuat sambal ikan bilis.

bawang putih
sejenis bawang kecil yang berulas-ulas berwarna putih dan kuat baunya.
Contoh: Untuk membuat mi goreng, kita perlu memasukkan beberapa ulas bawang putih ke dalam tumisnya.

bendera kebangsaan
bendera yang menjadi lambang negara.
Contoh: Nama bendera kebangsaan kita ialah 'Jalur Gemilang'.

bendera negeri
bendera yang menjadi lambang sesebuah negeri.
Contoh: Warna bendera negeri Terengganu ialah hitam dan putih.
bintang filem
pelakon dalam cerita sesebuah filem atau artis dalam lapangan perfileman.
Contoh: P. Ramlee ialah seorang bintang filem Melayu yang terkenal.

bom tangan
sejenis bom kecil yang dapat dilemparkan dengan tangan.
Contoh: Sebuah trak tentera musuh musnah sama sekali apabila dua butir bom tangan yang dilemparkan oleh seorang pejuang itu meletup.

bulan sabit
bulan yang berbentuk melengkung seperti sabit, iaitu bulan berada di peringkat awal atau akhir bulan.
Contoh: Malam ini agak gelap kerana hanya disuluhi oleh bulan sabit.

bunga api
bahan bakar yang mengeluarkan percikan api yang berkilau-kilau dan berwarna-warni.
Contoh: Pertunjukan bunga api telah diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

bunga rampai
campuran pelbagai jenis bunga dan bahan-bahan bauan lain yang mengeluarkan bau harum atau wangi yang baru.
Contoh: Dalam majlis sambutan Maulidur Rasul itu, setiap tetamu diberikan seuncang bunga rampai.


cermin mata
sepasang kepingan kaca yang dipasangkan bingkai untuk membantu atau menambahkan daya penglihatan seseorang.
Contoh: Datuk memakai cermin mata semasa membaca surat khabar kerana matanya sudah kabur.

cermin muka
kepingan cermin yang disapu dengan raksa untuk membolehkan kita melihat wajah dan wajah kita sendiri.
Contoh: Ah Huat menyikat rambutnya di hadapan cermin muka yang tergantung pada dinding itu.

cincin emas
cincin yang diperbuat daripada emas.
Contoh: Encik Taha menghadiahi isterinya sebentuk cincin emas bertatahkan permata berlian sempena hari jadi isterinya itu.

darah merah
darah yang berwarna merah yang mengandungi plasma.
Contoh: Sel darah merah di dalam diri kita berfungsi sebagai pembawa oksigen ke seluruh badan.

dasar laut
bahagian laut yang paling bawah dan terdapat pasir.
Contoh: Kita dapat melihat pemandangan di dasar laut negara kita yang sangat indah apabila kita menggunakan peralatan menyelam yang lengkap.

daun pandan
daun daripada pokok pandan yang berbentuk panjang dan berwarna hijau tua yang mengeluarkan bau wangi serta dijadikan bahan pewarna.
Contoh: Perahan daun pandan biasanya digunakan sebagai bahan pewarna di dalam kuih-muih tradisional.

daun pintu
kepingan papan dsb yang digunakan untuk menutup pintu.
Contoh: Daun pintu rumah orang kaya itu diperbuat daripada kayu jati.

demam kuning
sejenis penyakit yang menyebabkan badan dan mata kekuning-kekuningan.
Contoh: Penyakit demam kuning biasanya berpunca daripada kerosakan dalam organ hati.

doktor gigi
orang yang terlatih dan ahli dalam bidang pergigian.
Contoh: Dr. Shakinah ialah seorang doktor gigi yang mempunyai dua buah klinik gigi di bandar ini.


doktor haiwan
orang yang terlatih dan ahli dalam bidang penyakit yang dihadapi oleh haiwan dan memberikan rawatan kepada haiwan yang sakit.
Contoh: Puan Khalisah membawa kucing kesayangannya yang sakit itu ke klinik untuk dirawat oleh doktor haiwan.

doktor mata
doktor yang pakar tentang rawatan penyakit mata.
Contoh: Encik Zubir akan menjalani pembedahan kornea matanya di klinik seorang doktor mata yang terkemuka itu.

duta besar
pegawai diplomatik yang tertinggi yang dihantar oleh kerajaan atau negaranya ke negara asing untuk tinggal menetap di sana sebagai wakil rasmi kerajaan.
Contoh: Dato' Dr. Ismail Ibrahim telah dilantik sebagai duta besar di negara Mesir.

ekor kuda
rambut wanita yang agak panjang diikat dan dibiarkan berjuntai bahagian hujungnya seperti ekor kuda.
Contoh: Gadis yang berambut ekor kuda itu ialah anak Fok Eeu.

ekor rambut
bahagian hujung rambut yang terlebih pada dahi dan pada tengkuk.
Contoh: Ekor rambut Zamani sangat panjang hingga mencecah kolar bajunya.

emak saudara
adik-beradik kandung kepada ibu atau ayah kita.
Contoh: Puan Ramlah ialah emak saudara kepada Fatihah, iaitu adik bongsu kepada ibunya.
emak tiri
wanita yang menjadi isteri kepada bapa kita dan bukan ibu kandung kita.
Contoh: Puan Suryati telah menjadi ibu tiri kepada Pauzi selepas ayahnya berkahwin dengan Puan Suryati sebulan yang lalu.

emas urai
emas yang halus-halus seperti pasir keadaan atau rupanya.
Contoh: Pendulang-pendulang emas di kawasan itu setakat ini hanya memperoleh emas urai.

embun jantan
wap air yang turun pada waktu malam dengan titik-titiknya yang kasar.
Contoh: Apabila waktu dinihari hampir menjelang, embun jantan mulai turun.


embun pagi
kabut atau kabus yang turun pada waktu awal pagi.
Contoh: Embun pagi yang tebal itu menghalang pandangan setiap pemandu kenderaan di jalan-jalan raya.

engsel pintu
sesendi besi yang dipasang pada daun pintu dan jenangnya untuk membolehkan pintu dibuka dan ditutup dengan mudah.
Contoh: Engsel pintu itu sudah berkarat yang menyebabkan daun pintu itu berbunyi apabila dibuka atau ditutup.

gaji bulan
upah kerja yang dibayar setiap bulan atau apabila genap sebulan bekerja.
Contoh: Kakitangan awam atau kerajaan dibayar gaji bulan pada setiap hujung bulan bekerja.

gaji pokok
upah asas kepada pekerjaan atau perkhidmatan sebelum ditambah elaun.
Contoh: Gaji pokok bagi jawatan itu ialah RM1400.00 sebulan.

garis pusat
garisan lurus yang merentasi di tengah-tengah bulatan, iaitu melalui titik pusat bulatan dan kedua-dua hujung garisan itu menyentuh lilitannya.
Contoh: Garis pusat bulatan yang perlu dilukis oleh pelajar-pelajar itu ialah 14cm.

gempa bumi
gegaran yang kuat yang berlaku akibat gerakan kerak bumi.
Contoh: Pulau Sumatera, Indonesia sering mengalami gempa bumi sejak akhir-akhir ini.

gergaji kayu
sejenis alat yang bergerigi pada matanya untuk membelah, memotong atau mengerat kayu sahaja.
Contoh: Amran mengerat kayu itu dengan gergaji kayu yang baru dibelinya itu.

gigi emas
gigi tiruan yang diperbuat daripada emas dan dipasang untuk menggantikan gigi asli yang tercabut.
Contoh: Mak Gayah menggunakan dua batang gigi emas untuk menggantikan gigi-giginya yang tertanggal itu.

gigi palsu
gigi tiruan untuk menggantikan gigi-gigi asas yang telah tercabut atau tertanggal.
Contoh: Encik Fairul terpaksa memakai gigi palsu apabila beberapa batang giginya patah akibat kemalangan yang dialaminya itu.


gula batu
sejenis gula yang berketul-ketul seperti batu kerasnya.
Contoh: Beberapa ketul gula batu digunakan sebagai salah satu bahan untuk upacara bercukur bayi itu.

hampas kelapa
sisa isi kelapa yang diparut atau dimesin selepas diperah atau diambil santannya.
Contoh: Puan Ziela mengisi hampas kelapa itu ke dalam guni untuk dijadikan sebagai makanan ayam dan itiknya.

hari cuti
hari kelepasan atau hari seseorang yang bekerja tetapi tidak pergi bekerja pada hari tersebut.
Contoh: Pada hari cuti, biasanya Encik Mail berada bersama-sama dengan ahli keluarganya di rumah.

hari kebangsaan
hari atau tarikh yang tertentu yang disambut dan dirayakan oleh seluruh rakyat sesebuah negara sebagai memperingati kemerdekaan dsb.
Contoh: Hari Kebangsaan negara kita disambut setiap tahun pada tanggal 31 Ogos.

hari minggu
hari cuti hujung minggu, iaitu hari orang tidak bekerja.
Contoh: Pada hujung minggu, ramai orang berkelah di pantai Port Dickson.

harta karun
barang-barang yang bernilai atau harta-benda yang terpendam dan ditemui yang tidak diketahui pemiliknya atau yang didapati (ditemui) dengan tidak sah.
Contoh: Peladang itu menemui harta karun ketika dia menggali parit di ladangnya itu.

hujan batu
air hujan yang turun dalam bentuk air beku atau ais yang keras.
Contoh: Penduduk taman perumahan itu menjadi gempar apabila hujan batu turun di kawasan perumahan mereka itu.

hujan gerimis
hujan yang turun renyai-renyai atau rintik-rintik atau hujan yang menitik halus-halus dan tidak lebat atau banyak.
Contoh: Pengadil perlawanan meneruskan juga permainan bola sepak itu kerana hujan yang turun pada masa itu hanyalah hujan gerimis.

huruf besar
jenis huruf yang digunakan untuk menulis ejaan di permulaan ayat dan nama khas seperti A, B, C dll.
Contoh: Apabila kita ingin menulis nama seseorang, kita mesti menggunakan huruf besar di permulaan ejaan namanya itu.

huruf condong
huruf yang ditulis atau dicetak miring atau sendeng ke kanan bagi menulis perkataan, frasa atau rangkai kata dsb.
Contoh: "Berikan maksud rangkai kata yang berhuruf condong," kata Cikgu Ramlah.

ibu bapa
orang tua, iaitu emak dan ayah yang melahirkan dan membesarkan kita.
Contoh: Anak-anak perlulah menghormati dan mematuhi segala nasihat ibu bapa yang telah banyak berjasa kepada kita.

ibu negeri
bandar yang menjadi pusat pemerintahan atau pentadbiran sesebuah negeri.
Contoh: Bandar Seremban ialah ibu negeri bagi Negeri Sembilan.

ibu pejabat
pejabat besar atau utama yang menjadi pusat pentadbiran dan pengurusan sesebuah jabatan, syarikat dsb.
Contoh: Ibu pejabat syarikat pengangkutan itu berpusat di Kuala Lumpur.

ikan darat
jenis ikan yang hidup di dalam air tawar seperti sawah, paya, sungai, tasik atau parit dsb.
Contoh: Ikan sepat, haruan dan keli adalah antara jenis ikan darat yang terdapat di negara kita.

ikan kering
ikan yang digaramkan dan dijemur kering.
Contoh: Emak menggoreng ikan kering untuk dimakan dengan nasi air.

industri hiliran
perusahaan atau industri di pesisir pantai yang berasaskan perkhidmatan dan pengurusan insuran, perkapalan, eksport, dan import serta pertukaran asing.
Contoh: Wilayah Persekutuan Labuan telah menjadi pusat industri hiliran yang bertaraf antarabangsa bagi negara kita.

jalan raya
jalan perhubungan darat yang besar dan berturap.
Contoh: Selepas negara kita mencapai kemerdekaan, banyak jalan raya dibina di seluruh negara untuk memudahkan perhubungan rakyat.

jam dinding
sejenis jam yang digantung pada dinding.
Contoh: Jam dinding di dalam bilik tidur Haiqal sudah tidak berfungsi lagi kerana baterinya sudah kehabisan kuasa.

jam tangan
sejenis jam yang dipakai di tangan.
Contoh: Jam tangan yang dipakai oleh Wawa itu ialah hadiah hari jadinya.

jari kelengkeng
jari tangan yang terkecil dan terpendek atau jari anak.
Contoh: Jari kelengkengnya berdarah kerana tersepit di pintu biliknya.

jari manis
jari tangan yang letaknya di antara jari kelengkeng dengan jari hantu atau jari tangan yang keempat dari ibu jari.
Contoh: Suhaili memakai cincin pertunangannya itu pada jari manisnya.

jinjang pelamin
tempat bersanding pengantin baru atau berkahwin.
Contoh: Perkenalan antara Liana dengan Hamid, akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin.

kacang panjang
sejenis kacang dan buahnya berwarna hijau dan panjang serta halus yang digunakan untuk membuat sayur dan ulam.
Contoh: Lim Eng banyak menanam kacang panjang di belakang rumahnya itu.

kain tudung
kain untuk menutup kepala, biasanya digunakan oleh wanita Islam.
Contoh: Puan Dania selalu memakai kain tudung apabila keluar dari rumah untuk ke mana-mana.

kapal korek
jentera yang berupa kapal untuk mengorek tanah atau bijih.
Contoh: Kapal korek banyak digunakan untuk melombong bijih timah di negeri Perak pada zaman dahulu.

kapal layar
kapal yang bergerak menggunakan layar yang ditiup oleh angin, iaitu tanpa kuasa enjin.
Contoh: Kapal layar itu bergerak dengan laju apabila angin kencang bertiup.

kasut sekolah
sepatu yang dipakai oleh murid-murid sebagai salah satu pakaian seragam sekolah.
Contoh: Muiz didenda oleh guru disiplin kerana selalu tidak memakai kasut sekolah.
katak puru
sejenis katak darat yang badannya menggerutu.
Contoh: Seekor katak puru telah masuk ke dalam kasut Mazlan yang terletak di tepi tangga itu.
kayu api
kayu yang digunakan sebagai bahan bakar seperti memasak, memanaskan atau mengeringkan sesuatu dsb.
Contoh: Pada zaman dahulu, orang kampung menggunakan kayu api untuk memasak.

kebun bunga
taman untuk bersiar-siar yang ditanami pelbagai pokok bunga dan pokok-pokok lain.
Contoh: Pada setiap petang hari minggu, Puan Azlin pergi bersiar-siar di kebun bunga dengan keluarganya.

kebun sayur
kawasan tanah yang ditanam dengan pelbagai pokok sayur-sayuran.
Contoh: Sayur-sayuran yang ditanam di kebun sayur Pak Lim tumbuh dengan subur sekali.

kedai kopi
kedai khas sebagai tempat untuk menjual minum-minuman, makanan dan kuih-muih.
Contoh: Encik Nawi amat gemar bersarapan pagi di kedai kopi sebelum masuk ke pejabatnya.

kedai runcit
kedai yang menjual pelbagai barang keperluan secara kecil-kecilan atau sedikit-sedikit.
Contoh: Puan Zuraida pergi membeli sabun, minyak masak, dan gula di kedai runcit berdekatan dengan rumahnya itu.

kedai ubat
tempat menjual pelbagai jenis ubat-ubatan.
Contoh: Pak Salim membeli ubat batuk itu di kedai ubat yang berdekatan.

kelapa kering
Isi kelapa yang dikeringkan (dijemur atau disalai) untuk dibuat minyak.
Contoh: Lebai Andak membelah buah-buah kelapa itu untuk dibuat kelapa kering.

kelapa muda
buah kelapa yang belum tua dan masih lunak atau lembut isinya yang boleh dimakan terus dan airnya boleh diminum begitu sahaja.
Contoh: Air kelapa muda sungguh enak diminum.

kenduri kahwin
jamuan makan sempena meraikan majlis perkahwinan seseorang.
Contoh: Kenduri kahwin di rumah keluarga Encik Yahya itu akan diadakan pada hujung minggu hadapan.

kereta lembu
kenderaan yang menggunakan roda yang ditarik oleh lembu.
Contoh: Kereta lembu adalah salah satu kenderaan yang agak popular pada zaman dahulu sebelum terciptanya kenderaan bermotor.

kereta lumba
kereta khas yang digunakan dalam perlumbaan kereta yang sangat laju.
Contoh: Kereta lumba yang dipandu oleh Michael Schumacher dari Jerman itu adalah daripada jenis Ferrari.

kertas kerja
rencana yang disediakan untuk dibentangkan dalam sesuatu kursus atau sidang untuk dibincangkan.
Contoh: Encik Dahlan akan membentangkan kertas kerjanya dalam seminar itu.

ketua kampung
orang yang mengepalai atau memimpin penduduk sesebuah kampung atau penghulu kampung.
Contoh: Masalah yang dihadapi oleh mereka itu akan diadukan kepada ketua kampung untuk tindakan lanjut beliau.

ketupat nasi
nasi yang dimasak di dalam kelongsong atau bungkusan daun kelapa yang beranyam.
Contoh: Nenek membuat ketupat nasi untuk dimakan dengan rendang ayam dan kuah kacang.

kikir kayu
sejenis alat daripada keluli yang bergerigi halus pada permukaannya atau tepinya yang digunakan untuk mengikis atau melicinkan kayu.
Contoh: Pak Zubir menggunakan sebilah kikir kayu untuk melicinkan hulu kapak yang baru dibuatnya itu.

kincir angin
sejenis roda atau baling-baling besar yang digerakkan oleh angin untuk mengisar bijirin seperti gandum dsb.
Contoh: Petani-petani Eropah pada zaman dahulu menggunakan kincir angin untuk mengisar gandum.

kipas angin
alat-alat yang mempunyai bilah-bilah yang dapat bergerak ligat untuk mengadakan atau menggerakkan angin.
Contoh: Penonton-penonton di dalam dewan itu berasa amat rimas kerana beberapa buah kipas anginnya tidak berfungsi.


kocek seluar
poket atau saku atau kantung pada seluar.
Contoh: Wang syiling Jamilah sudah tercicir kerana kocek seluar sekolahnya telah bocor.

kolam renang
kolam khas yang besar dibina daripada batu atau simen dll sebagai tempat orang berenang atau bersukan air.
Contoh: Setiap hotel mewah biasanya mempunyai sebuah kolam renang untuk membolehkan pelanggan masing-masing berenang dan beriadah.

kopi susu
air kopi dimasukkan atau bercampur susu.
Contoh: Encik Goh biasanya minum secawan kopi susu sebelum pergi bekerja.
kuda kepang
kuda-kudaan yang diperbuat daripada anyaman bilah buluh dan dijadikan sebagai permainan tradisional, iaitu tarian kuda kepang.
Contoh: Tarian kuda kepang amat diminati oleh masyarakat Melayu di negeri Johor.

kuda lumba
kuda yang dipelihara untuk berlumba.
Contoh: Dato' Tan Lim memelihara beberapa ekor kuda lumba yang dibelinya dari Amerika Syarikat.

kulit pisang
lapisan luar yang membaluti isi buah pisang.
Contoh: Pak Jamil mengumpul kulit pisang di gerai menjual pisang goreng itu untuk dimakan oleh kambingnya.

kunci pagar
alat yang digunakan untuk mengancing pintu pagar yang terdiri daripada mangga dan pembukanya.
Contoh: Encik Jaafar tidak dapat masuk ke dalam kebunnya kerana kunci pagar kebunnya itu telah berkarat dan tidak dapat dibuka lagi.

kunci rumah
alat yang terdiri daripada mangga dan pembukanya untuk mengancing pintu rumah.
Contoh: Kunci rumah yang dibeli oleh Encik Alif  itu diperbuat daripada keluli yang tidak berkarat.

kuning telur
bahagian isi telur yang berwarna kuning.
Contoh: Rokiah suka makan kuning telur kerana rasanya agak lemak.



labu manis
sejenis labu yang rasanya agak manis dan boleh dibuat sayur, halwa atau disira.
Contoh: Nenek membuat halwa daripada labu manis.

labu sayung
sejenis buyung bekas air atau kendi yang diperbuat daripada tanah yang berbentuk seperti buah labu.
Contoh: Air yang disimpan di dalam labu sayung dapat dijadikan penawar dan enak diminum.

lada hitam
sejenis lada yang berbutir-butir dan hitam warnanya serta rasanya pedas.
Contoh: Mak Lijah menumbuk sesudu teh lada hitam untuk dimasukkan ke dalam kuah laksa itu.

lagu asli
lagu yang irama atau senikatanya telah dinyanyikan turun-temurun yang mempunyai ciri-ciri tertentu tempatan.
Contoh: Suara Tan Sri S.M. Salim amat sesuai dengan irama dan rentak lagu asli.

lagu kebangsaan
lagu rasmi bagi sesebuah negara yang diperdengarkan atau dinyanyikan kepada umum dalam sesuatu upacara atau majlis rasmi dsb.
Contoh: Lagu 'Negaraku' ialah lagu kebangsaan negara kita.

lantai simen
bahagian atas dasar rumah tempat kita berpijak atau berjalan yang diperbuat daripada simen atau konkrit.
Contoh: Ruang dapur rumah datuknya mempunyai lantai simen.

lesen radio
surat kebenaran atau surat izin daripada pihak berkuasa untuk memiliki radio secara sah.
Contoh: Kerajaan telah memansuhkan bayaran lesen radio di negara ini sejak beberapa tahun lalu.

lesen televisyen
surat kebenaran atau surat izin daripada pihak berkuasa untuk memiliki televisyen secara sah.
Contoh: Rakyat negara ini tidak perlu lagi membayar lesen televisyen kerana kerajaan telah memansuhkannya.

lesung batu
sejenis lesung yang diperbuat daripada batu untuk menumbuk cili, kacang tanah dll.
Contoh: Nenek menggunakan lesung batu untuk menumbuk cili.


lesung pipit
lekuk kecil pada pipi seseorang.
Contoh: Apabila dia tersenyum, kelihatan lesung pipit pada pipinya itu.

lidah buaya
sejenis tumbuhan atau pokok renek yang berdaun tunggal dan agak tebal.
Contoh: Puan Aisyah banyak menanam pokok lidah buaya di halaman rumahnya.

limau nipis
sejenis pokok dan buahnya yang masam dan nipis kulitnya.
Contoh: Rasa sup tulang itu menjadi lebih enak lagi apabila dimasukkan air perahan limau nipis.

limau purut
sejenis limau kecil yang agak masam dan kesat atau menggerutu kulitnya.
Contoh: Untuk menghilangkan bau hanyir ikan darat, kita perlu menggaulkan ikan-ikan itu di dalam air perahan limau purut.

lobak merah
sejenis tumbuh-tumbuhan berubi dan ubinya itu boleh dibuat sayur, acar atau dijadikan ramuan masakan kari.
Contoh: Arnab amat gemar makan lobak merah.
lori balak
sejenis kenderaan pengangkut yang besar dan panjang khusus untuk mengangkut kayu balak.
Contoh: Pemandu lori balak itu telah disaman oleh polis kerana membawa muatan yang melebihi hadnya.

lumba lari
perlawanan untuk beradu cepat atau deras berlari.
Contoh: Dalam acara lumba lari 100 meter itu, Roslin telah muncul sebagai johannya.

lumba renang
perlawanan untuk beradu atau menentukan orang yang paling laju atau deras berenang.
Contoh: Dalam acara lumba renang itu, perenang-perenang negara kita telah berjaya memenangi tiga pingat emas dan satu pingat perak.

madu lebah
benda cecair yang manis yang diperoleh daripada sarang lebah.
Contoh: Madu lebah amat berkhasiat dan dapat menyihatkan badan.

malam minggu
malam sebelum hari minggu atau malam Ahad.
Contoh: Biasanya pada malam minggu, Jufri tidur agak lewat.


mata pelajaran
jenis atau bidang ilmu pengetahuan yang diajar secara formal di sekolah dsb.
Contoh: Haslina mendapat markah yang tertinggi dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Sains.

meja makan
meja yang menjadi tempat untuk makan dan minum.
Contoh: Pelayan restoran itu sedang membersihkan beberapa buah meja makan di restoran itu selepas pelanggan-pelanggannya beredar dari situ.

meja tulis
meja yang digunakan dan menjadi tempat untuk membaca dan menulis serta mengira dsb.
Contoh: Buku-buku dan alat-alat tulis bertaburan di atas meja tulis Imran itu.

merah jambu
warna merah yang keputih-keputihan atau warna merah yang agak muda, iaitu warna merah seperti buah jambu air.
Contoh: Puan Saadiah memakai tudung kepala yang berwarna merah jambu hari ini.

merah tua
warna merah seperti kesumba atau buah saga iaitu warna merah yang pekat.
Contoh: Kereta Produa Myvi yang baru dibeli Cikgu Zamarul itu berwarna merah tua.

meriam buluh
sejenis meriam yang diperbuat daripada buluh yang mengeluarkan bunyi yang kuat.
Contoh: Setiap kali menjelang hari raya, budak-budak kampung suka bermain meriam buluh.

meriam katak
meriam yang kecil dan pendek larasnya.
Contoh: Di hadapan Muzium Negeri itu terdapat beberapa laras meriam katak lama.

mesin jahit
sejenis alat atau mesin untuk menjahit pakaian dll.
Contoh: Puan Rahmah sedang menjahit baju kurung anak perempuannya itu dengan mesin jahit yang baru dibeli oleh suaminya.

mesyuarat tahunan
suatu majlis perundingan atau perbincangan besar oleh ahli-ahli atau ahli-ahli jawatankuasa sesebuah jabatan, institusi atau organisasi untuk mencapai kata sepakat atau ketetapan yang diadakan sekali setahun seperti mesyuarat agung dsb.
Contoh: Mesyuarat tahunan persatuan belia itu akan diadakan pada hujung minggu hadapan di balai raya.


mi goreng
mi yang digoreng dengan perencah-perencahnya.
Contoh: Mi goreng yang dijual di restoran itu sangat enak.

mi kuah
mi yang dimasak dengan perencah-perencahnya yang berkuah.
Contoh: Mi kuah yang dimasak oleh ibu sungguh sedap kerana beliau memasukkan pelbagai perencah.

mi kuning
bahan makanan seperti laksa yang diperbuat daripada tepung gandum yang berwarna kuning.
Contoh: Puan Maria pergi ke pasar untuk membeli mi kuning untuk digoreng.

minyak tanah
sejenis bahan bakar cecair yang digunakan untuk lampu atau bahan api.
Contoh: Semalaman rumah Johani hanya diterangi oleh lampu minyak tanah kerana bekalan elektrik telah terputus sejak awal petang lagi.

minyak wangi
sejenis minyak yang harum baunya dan menjadi salah satu alat solek.
Contoh: Minyak wangi yang dipakai oleh Datin Safiah itu berbau harum semerbak.

mi rebus
sejenis mi yang dimasak dengan perencah-perencah yang direbus.
Contoh: Tania suka makan mi rebus.
muka bumi
bahagian lapisan atas bumi yang meliputi daratan, sungai, laut, gunung-ganang, dan tumbuh-tumbuhan.
Contoh: Muka bumi di negara-negara Arab dilitupi oleh padang pasir yang luas.

murid sekolah
budak atau pelajar yang masih belajar di sekolah atau orang yang sedang atau pernah belajar sesuatu ilmu dengan guru di sekolah.
Contoh: Setiap murid sekolah mesti mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah masing-masing.

nasi ayam
nasi yang ditanak dengan sup ayam dan dimakan dengan lauk ayam.
Contoh: Nasi ayam yang dihidangkan oleh Mak Lijah sungguh enak.

nasi lemak
nasi yang ditanak dengan santan dan dimakan dengan sambal ikan bilis atau kerang dan rendang dll.
Contoh: Pada setiap pagi, dia bersarapankan sebungkus nasi lemak.
nasi minyak
nasi berempah yang dimasak dengan minyak, marjerin atau minyak sapi dll.
Contoh: Encik Sanusi telah dijemput makan nasi minyak di rumah Encik Ramli sempena kenduri kesyukuran atas kejayaan anaknya itu.

nombor ganjil
nombor atau angka apabila dibahagi dua akan mempunyai baki seperti 3, 5, 7 dsb.
Contoh: Semua nombor kad pengenalan bagi orang lelaki berakhir dengan nombor ganjil.

nombor genap
nombor atau angka apabila dibahagi dua tidak mempunyai baki seperti 2, 4, 6 dsb.
Contoh: Semua nombor kad pengenalan bagi orang perempuan berakhir dengan nombor genap.

nyamuk tiruk
nyamuk yang boleh membawa penyakit malaria.
Contoh: Di sekitar paya itu telah menjadi tempat nyamuk tiruk membiak yang boleh membawa demam malaria.

orang kenamaan
seseorang yang berpangkat atau berjawatan tinggi, berpengaruh, dan masyhur serta amat dihormati.
Contoh: Ramai orang kenamaan hadir dalam majlis perkahwinan anak perempuan Datuk Malik itu.

orang ramai
golongan atau kalangan orang biasa atau orang awam.
Contoh: Kemudahan-kemudahan awam yang disediakan itu adalah untuk orang ramai semasa mereka dalam kecemasan atau keadaan amat memerlukan.

otak udang
suatu kiasan untuk orang bodoh atau tidak mampu berfikir.
Contoh: Dia dikatakan otak udang kerana tidak dapat menjawab langsung soalan-soalan ujian yang mudah itu.

padang bola
suatu kawasan tanah lapang yang luas yang digunakan sebagai tempat untuk orang bermain bola.
Contoh: Kanak-kanak itu sedang bermain bola sepak di padang bola sekolah mereka.

padi bukit
sejenis padi yang ditanam di kawasan kering, iaitu padi yang tidak memerlukan bekalan air yang banyak atau padi huma.
Contoh: Orang Asli yang tinggal di kaki gunung itu menanam padi bukit untuk sumber makanan mereka.
pagar besi
sesuatu yang didirikan atau dibina untuk melingkungi dan melindungi sesuatu kawasan atau bangunan yang diperbuat daripada besi.
Contoh: Kawasan rumah orang kaya itu dilingkungi oleh pagar besi.

paip air
pancuran air atau pili iaitu batang besi atau plastik yang menyalurkan air.
Contoh: Paip air di dalam tandas awam itu telah bocor yang menyebabkan air melimpah di atas lantai.

paku payung
sejenis paku yang lebar dan pipih kepalanya.
Contoh: Atap zink rumah Pak Kudin dipaku dengan paku payung.

pam air
alat untuk memasukkan atau mengeluarkan air yang berterusan.
Contoh: Pekerja binaan itu menggunakan pam air untuk mengeringkan air yang bertakung di dalam lubang tiang itu.

pam minyak
alat untuk mengisi atau mengeluarkan minyak pada bekasnya atau tempat membeli minyak petrol, diesel dll atau stesen minyak.
Contoh: Encik Wan Haris selalu mengisi minyak keretanya itu di sebuah pam minyak yang berdekatan dengan rumahnya.

pandu puteri
pasukan atau badan beruniform atau pengakap yang dikhususkan kepada wanita sahaja.
Contoh: Janariah ialah salah seorang ahli pasukan pandu puteri di sekolahnya.

papan hitam
papan yang luas dan lebar yang berwarna hitam atau hijau untuk ditulis dengan kapur.
Contoh: Papan hitam di dalam Kelas Empat Taat itu telah diconteng dengan cat berwarna-warni oleh murid-murid yang tidak bertanggungjawab.

parang panjang
sejenis senjata atau alat pemotong yang besar dan panjang serta tajam matanya atau golok atau pisau besar.
Contoh: Pak Husni menebas semak-samun di dalam kebunnya itu dengan sebilah parang panjang.

parang pendek
sejenis senjata atau alat pemotong yang kecil dan pendek.
Contoh: Nenek memotong tebu itu dengan sebilah parang pendek.


parut kelapa
alat untuk mengukur isi kelapa.
Contoh: Khairin membantu ibu mengukur kelapa tua dengan parut kelapa.

pasar malam
tempat berjual-beli barang-barang yang diadakan pada waktu malam.
Contoh: Puan Asiah selalu membeli barang-barang keperluan dapurnya di pasar malam yang diadakan berdekatan dengan rumahnya itu.

pasu bunga
bekas yang diperbuat daripada tanah liat atau plastik untuk menanam pelbagai jenis pokok bunga.
Contoh: Puan Fatonah banyak membeli pasu bunga di pasar tani itu untuk menanam bunga.

payung kertas
alat untuk melindungi atau meneduhi badan daripada panas atau hujan yang diperbuat daripada kertas tebal.
Contoh: Payung kertas yang baru dibeli oleh ayah itu sudah terkoyak kerana terkena paku.

pejabat pos
tempat bekerja atau tempat penyelenggaraan pelbagai urusan yang berkaitan pos-mengepos (surat, kiriman, hantaran dll).
Contoh: Fiona membeli setem itu di pejabat pos.

pelantar minyak
tempat yang menjadi operasi menyedut minyak mentah di kawasan cari gali yang biasanya di tengah-tengah laut.
Contoh: Pelantar minyak di laut yang berhampiran loji Kerteh, Terengganu mampu menyedut minyak beribu-ribu tong sehari.

pensel warna
alat untuk menulis atau melukis daripada grafit di dalam batang kayu yang berwarna-warni.
Contoh: Adik Mazni melukis dengan pensel warna yang dibeli oleh ayahnya itu.

perhentian bas
tempat khas untuk bas penumpang berhenti untuk menurunkan atau mengambil penumpangnya.
Contoh: Murid-murid sekolah sedang menunggu bas di perhentian bas itu.

peti besi
kotak yang bertutup diperbuat daripada besi untuk menyimpan wang atau barang-barang berharga.
Contoh: Encik Emran menyimpan wang tunai hasil daripada perniagaannya itu di dalam peti besi di biliknya itu.

peti sejuk
sejenis peti penyejuk untuk menyimpan makanan dan minuman (sayur-sayuran, ikan, buah-buahan dsb.) supaya tahan lama.
Contoh: Emak menyimpan sayur-sayuran dan ikan yang dibelinya itu di dalam peti sejuk.
peti surat
kotak yang berlubang kecil tempat memasukkan surat yang hendak dikirimkan.
Contoh: Aisyah memasukkan surat yang hendak diposkan itu ke dalam peti surat di pejabat pos yang berdekatan.

pinggan kaca
bekas makanan yang bulat leper yang diperbuat daripada kaca.
Contoh: Puan Kay menggunakan beberapa biji pinggan kaca untuk menghidangkan lauk-pauk itu.

pinggan nasi
bekas untuk mengisi nasi yang bulat leper yang dibuat daripada tembikar, kaca dsb yang agak besar.
Contoh: Pinggan nasi itu tidak boleh digunakan untuk mengisi nasi lagi kerana sudah retak.

piring emas
bekas bulat leper untuk mengisi kuih dll atau untuk mengalas cawan dan bentuk lebih kecil daripada pinggan yang diperbuat daripada emas.
Contoh: Sebiji piring emas dan beberapa biji barangan tembaga lama telah dijumpai oleh penduduk kampung semasa mereka membersihkan kawasan pinggir bukit itu.

piring hitam
sejenis cakera, iaitu sesuatu yang berbentuk bulat dan leper iaitu apabila dipusingkan dengan alatnya boleh mengeluarkan suara atau bunyi, khususnya lagu-lagu.
Contoh: Biduan yang terkenal, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee telah merakamkan beratus-ratus lagu ke dalam piring hitam sepanjang hayatnya itu.

pisang tanduk
sejenis pisang yang buahnya sangat besar dan berbentuk tanduk.
Contoh: Pisang tanduk amat enak dimakan jika digoreng.

pisau lipat
sejenis pisau yang boleh dilipat matanya ke dalam hulunya dan bentuknya agak kecil.
Contoh: Abu menggunakan pisau lipat untuk menajamkan penselnya itu.

pukat hanyut
jaring besar dan lebar serta panjang untuk menangkap ikan di laut pinggir pantai secara dihanyutkan dan tergantung di dalam air.
Contoh: Sekumpulan nelayan itu menggunakan pukat hanyut untuk menangkap ikan di laut.





pukat jerut
sejenis pukat yang dilabuhkan melingkungi sekumpulan ikan dan ikan-ikan terperangkap apabila bahagian bawah pukat dijerutkan dan kemudian ditarik ke atas bot.
Contoh: Ikan kembung, selar, tongkol, dan udang biasanya ditangkap dengan pukat jerut.

pukat tunda
dikenali juga sebagai pukat harimau, iaitu sejenis pukat yang amat besar dan lebar serta panjang yang digunakan oleh kapal besar di kawasan laut dalam yang mampu menangkap banyak ikan.
Contoh: Penggunaan pukat tunda harus dikawal untuk menjamin sumber bekalan ikan tidak terjejas.

puncak bukit
bahagian yang tertinggi sesebuah bukit.
Contoh: Puncak bukit itu telah digondolkan.

puncak gunung
bahagian yang tertinggi sesebuah gunung.
Contoh: Puncak gunung itu sentiasa diselubungi kabus dan awan, walaupun pada waktu tengah hari.

puntung kayu
baki atau bahagian lebihan kayu yang dipotong dan hendak dibuang.
Contoh: Mak cik Fatimah menggunakan beberapa batang puntung kayu untuk merebus ketupat.

puntung rokok
baki atau lebihan di bahagian pangkal rokok yang telah dihisap.
Contoh: Banyak puntung rokok dibuang oleh orang ramai di kaki lima stesen bas itu.

pusat bandar
bahagian di tengah-tengah sesebuah bandar yang menjadi tumpuan orang.
Contoh: Kedai emas Encik Azlan terletak di pusat bandar itu.

rabun ayam
tidak jelas penglihatan ketika senja atau pada waktu malam.
Contoh: Encik Kalam tidak berani untuk memandu kereta pada waktu malam kerana beliau rabun ayam.

rabun dekat
tidak jelas penglihatan bagi sesuatu yang dekat tetapi jelas penglihatannya bagi sesuatu yang jauh.
Contoh: Gunawan tidak dapat membaca surat khabar itu tanpa cermin mata kerana matanya rabun dekat.



rabun jauh
tidak jelas penglihatan bagi sesuatu yang jauh dan sebaliknya jelas penglihatan bagi sesuatu yang dekat.
Contoh: Azizah tidak dapat membaca tulisan pada papan tanda di seberang jalan itu kerana matanya rabun jauh.

racun rumpai
bahan kimia yang berbisa untuk mematikan rumput-rampai.
Contoh: Pak Jalil menyembur racun rumpai di dalam kebunnya yang penuh dengan lalang itu.

racun serangga
bahan kimia yang berbisa untuk membunuh pelbagai jenis serangga.
Contoh: Encik Kok Lim menyemburkan racun serangga di dalam ladang belimbing besinya itu untuk menghapuskan serangga-serangga.

rangka kereta
casis atau bingkai utama bagi badan sesebuah kereta.
Contoh: Rangka kereta itu terpaksa dibetulkan semula selepas terlibat dalam kemalangan itu.

rokok daun
sejenis rokok yang dibuat daripada pucuk nipah yang dikeringkan atau dijemur.
Contoh: Pak Tam, Encik Shuib, dan Pak Salleh sedang berbual-bual sambil menghisap rokok daun di serambi rumah Pak Daud.

rongga hidung
lubang atau liang pada batang hidung.
Contoh: Bahagian tepi di bawah rongga hidung Razwan berdarah kerana terkena mata pen sewaktu dia bergurau dengan Raju tadi.

ruang tamu
tempat yang lapang di dalam rumah atau bangunan yang menjadi tempat tetamu duduk apabila berkunjung.
Contoh: Ruang tamu rumah Puan Saidah sungguh cantik dan selesa kerana luas dan lengkap dengan pelbagai perabot dan hiasan yang tersusun rapi.

rukun negara
asas dan prinsip kenegaraan Malaysia yang mengandungi lima prinsip utama.
Contoh: Setiap warganegara Malaysia harus menghayati prinsip-prinsip dalam rukun negara.

rumah batu
bangunan atau binaan untuk menjadi tempat tinggal atau kediaman yang diperbuat daripada konkrit (batu dan simen).
Contoh: Keluarganya tinggal di sebuah rumah batu di taman perumahan itu.



rumah pangsa
rumah yang dibina bertingkat-tingkat dan berpetak-petak.
Contoh: Dia tinggal di tingkat lima, rumah pangsa itu.

rumah panjang
rumah yang panjang dan didiami oleh beberapa keluarga yang biasanya banyak terdapat di daerah pedalaman Sarawak.
Contoh: Kanang anak Langkau dilahirkan di sebuah rumah panjang di daerah Nanga Maluan, Sarawak.
rumah sakit
bangunan tempat merawat orang sakit atau hospital.
Contoh: Ayah membawa adik yang demam itu ke rumah sakit untuk mendapatkan rawatan.

rumah teres
rumah kediaman yang dibina berderet-deret memanjang.
Contoh: Projek pembinaan rumah teres dilaksanakan ke seluruh negara adalah untuk memberi peluang kepada golongan yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.

rumput ternak
rumput yang ditanam atau dikhaskan untuk menjadi makanan binatang-binatang ternakan seperti lembu, kambing, biri-biri, kuda dsb.
Contoh: Kawasan bukit-bukit itu telah dibersihkan untuk dijadikan tapak tanaman rumput ternak bagi projek lembu tenusu itu.

sabit rumput
sejenis pisau yang melengkung untuk memotong rumput.
Contoh: Pak Fauzi sedang mengasah sabit rumput di halaman rumah.

sabun mandi
sabun yang wangi yang digunakan untuk membersihkan badan.
Contoh: Sabun mandi yang digunakan oleh Haslina untuk mandi itu berbau sangat wangi.

sabut kelapa
kulit yang berserat daripada buah kelapa.
Contoh: Serat daripada sabut kelapa boleh dibuat tali, berus, dan penyapu sampah.

sagu hati
wang atau hadiah dsb. yang diberi kepada seseorang sebagai tanda penghargaan atas penyertaan, jasa dsb.
Contoh: Dia hanya mendapat hadiah sagu hati dalam pertandingan melukis poster itu.

sahabat karib
kawan atau rakan yang paling rapat atau akrab sekali.
Contoh: Basri ialah sahabat karib Zuhairi.
sakit tekak
berasa tidak enak atau pedih atau perit di bahagian tekak kerana terlalu banyak bercakap, melaung dsb.
Contoh: Cikgu Aiman berasa sakit tekak selepas mengendalikan aktiviti-aktiviti dalam perkhemahan itu kerana terpaksa banyak menggunakan suara.

saku baju
bahagian yang berlubang dan berjahit di bawah yang menjadi tempat menyimpan sesuatu pada baju atau kocek baju atau pokek baju.
Contoh: Saku baju sekolah Azlan penuh dengan pen, pensel, dan gula-gula.

saku seluar
bahagian yang berlubang dan berjahit di bawah yang menjadi tempat menyimpan sesuatu pada seluar atau kocek seluar atau poket seluar.
Contoh: Wang syiling yang dimasukkan ke dalam saku seluarnya telah tercicir kerana saku seluarnya itu bocor.

sambal tumis
makanan pedas yang diperbuat daripada cili yang dikisar atau ditumbuk, asam, dan perencah-perencah berkaitan yang digoreng atau ditumis dengan minyak.
Contoh: Nasi lemak biasanya dimakan dengan sambal tumis bilis.

sampan kolek
sejenis perahu kecil yang tidak menggunakan layar.
Contoh: Pekebun itu membawa hasil tanamannya dengan menaiki sebuah sampan kolek untuk menyeberangi sungai itu.

sampul surat
kertas yang berlipat dan bersarung untuk mengisi surat yang hendak diposkan.
Contoh: Dia memasukkan borang permohonannya itu ke dalam sampul surat besar.

sangkar burung
bekas atau tempat yang berjaring-jaring untuk mengurung burung peliharaan.
Contoh: Encik Loh Jin membela seekor burung tiung di dalam sebuah sangkar burung yang besar dan cantik.

santan kelapa
air perahan isi kelapa yang diparut yang berwarna putih berlemak.
Contoh: Untuk memasak gulai atau sayur lemak, kita perlu menggunakan santan kelapa.

sapu lidi
alat yang digunakan untuk membersihkan lantai, halaman dsb. daripada sampah-sarap dan habuk yang diperbuat daripada lidi daun kelapa dsb.
Contoh: Mak Gayah membersihkan halaman rumahnya itu dengan sapu lidi.
sapu tangan
kain kecil berbentuk empat persegi untuk mengesat atau mengelap tangan, muka dll.
Contoh: Dia sentiasa membawa sapu tangan apabila pergi berjalan untuk mengelap peluhnya yang keluar.

sarang burung
tempat kediaman burung untuk tidur dan bertelur dsb.
Contoh: Sarang burung tempua sangat unik dan agak sukar untuk diambil.

sarang tebuan
tempat kediaman sekawan tebuan untuk berkumpul dan membiak.
Contoh: Dua orang penduduk kampung sedang menjolok sarang tebuan itu untuk menghalau tebuan-tebuan itu supaya tidak membahayakan orang yang lalu-lalang di situ.
sarung tangan
kain atau getah atau plastik yang menyaluti jari-jari dan tapak tangan hingga pangkal lengan.
Contoh: Doktor-doktor dan jururawat-jururawat biasanya memakai sarung tangan apabila merawat penghidap AIDS.

sawah padi
kawasan atau tempat yang rata dan agak rendah dan mudah digenangi air untuk menanam padi.
Contoh: Di negeri Kedah banyak terdapat kawasan sawah padi yang amat luas.

sekam padi
Kulit-kulit padi yang keluar selepas padi dimesin, dikisar atau ditumbuk untuk mengeluarkan berasnya.
Contoh: Sekam padi yang dibakar boleh dibuat baja pertanian.

sekolah agama
sebuah sekolah yang menggunakan kurikulum yang berteraskan mata-mata pelajaran agama.
Contoh: Ustaz Taha mendapat pendidikan awalnya di sebuah sekolah agama di kampungnya sebelum melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Al-Azhar, Mesir.

sekolah menengah
sekolah untuk murid-murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.
Contoh: Selepas menamatkan pelajaran di sekolah menengah nanti, Sharifah berhasrat untuk melanjutkan pengajian tinggi di luar negara.

sekolah rendah
sekolah untuk murid-murid darjah satu hingga darjah enam.
Contoh: Murid-murid sekolah rendah yang miskin disediakan sarapan pagi oleh pihak sekolah masing-masing di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT).


sekolah vokasional
sekolah yang kurikulumnya dikhususkan atau berteraskan bidang-bidang kemahiran untuk sesuatu pekerjaan.
Contoh: Banyak sekolah vokasional didirikan di seluruh negara untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam pelbagai bidang pekerjaan.

selamat malam
ucapan untuk melahirkan harapan agar aman sentosa atau sejahtera atau semoga berada dalam keadaan selamat sepanjang malam itu (ucapan pada waktu malam sewaktu mula-mula bertemu).
Contoh: Mei Wah mengucapkan selamat malam kepada ibu dan ayah sebelum dia masuk ke bilik tidurnya itu.

selamat pagi
ucapan untuk melahirkan harapan agar aman sentosa, sejahtera atau semoga berada dalam keadaan selamat sepanjang pagi itu (ucapan pada waktu pagi sewaktu mula-mula bertemu).
Contoh: Murid-murid Tahun Lima Dedikasi bangun dan mengucapkan selamat pagi kepada Cikgu Raju yang masuk ke kelas mereka itu.

selamat petang
ucapan untuk melahirkan harapan agar aman sentosa, sejahtera atau semoga berada dalam keadaan selamat sepanjang petang itu (ucapan pada waktu petang waktu mula-mula bertemu).
Contoh: Nani mengucapkan selamat petang kepada Cikgu Nisah sewaktu mereka bertemu di pasar minggu itu.

selamat tengah hari
ucapan untuk melahirkan harapan agar aman sentosa, sejahtera atau semoga berada dalam keadaan selamat (diucapkan pada waktu tengah hari).
Contoh: Murid-murid Tahun Enam Pintar memberikan ucapan selamat tengah hari kepada Puan Nora apabila beliau masuk ke kelas itu pada waktu pelajaran terakhir.

selipar getah
sejenis alas kaki yang bertali dan sebahagian besar hanya menutup tapak kaki yang diperbuat daripada getah.
Contoh: Dia memakai sepasang selipar getah ketika memasuki tandas.

selipar Jepun
sejenis alas kaki bertali yang berpecah dua ke tepi kanan dan kiri kaki.
Contoh: Lebai Dollah hanya memakai selipar Jepun pergi ke surau yang berdekatan dengan rumahnya itu.

seluar panjang
pakaian berkaki yang dipakai dari aras pinggang ke bawah (ke kaki) atau seluar yang panjang kakinya.
Contoh: Johari pergi ke pasar raya untuk membeli sehelai seluar panjang.

seluar pendek
pakaian berkaki yang dipakai dari aras pinggang ke hujung paha atau seluar yang pendek kakinya.
Contoh: Semua pemain badminton memakai seluar pendek semasa berlawan.

semut api
serangga kecil yang merayap berwarna merah dan sangat sakit apabila digigitnya.
Contoh: Adiknya menjerit kesakitan apabila digigit oleh semut api.

semut hitam
serangga kecil yang merayap yang agak besar berwarna hitam yang tinggal di dalam lubang tanah.
Contoh: Banyak semut hitam membuat sarang di dalam tanah di tepi pagar itu.

senapang angin
sejenis senapang yang melepaskan penabur dengan tekanan angin atau udara.
Contoh: Pak Mustafa menembak burung gagak itu dengan selaras senapang angin.

senapang patah
senapang yang patrumnya atau pelurunya diisi dari pangkal laras yang boleh dilipat-lipatkan.
Contoh: Pak Daim membawa selaras senapang patah semasa pergi ke kebunnya di kaki bukit itu.

senduk nasi
alat untuk menceduk nasi yang besar melengkung di hadapan dan kecil tangkai atau pemegangnya.
Contoh: Emak menceduk nasi di dalam periuk itu dengan senduk nasi.
sepatu getah
kasut atau kaus yang diperbuat daripada getah yang agak panjang hingga paras betis.
Contoh: Semasa mencuci longkang di sekeliling rumahnya itu, Encik Rahim memakai sepasang sepatu getah.

sepatu kulit
kasut atau kaus yang diperbuat daripada kulit haiwan yang dipakai untuk melindungi kaki.
Contoh: Sepatu kulit yang baru dibelinya itu telah hilang ketika dia meletakkannya di tempat letak kasut di masjid itu.

serbuk kopi
benda yang berbutir-butir halus daripada biji-biji kopi yang dikisar atau dimesin yang menjadi bahan minuman.
Contoh: Air kopi o yang diminum oleh Pak Kamal itu adalah daripada serbuk kopi tulen.

serbuk teh
butir-butir halus daripada daun-daun teh yang dikisar atau dimesin menjadi bahan minuman.
Contoh: Serbuk teh yang digunakan oleh Puan Juwita untuk menyediakan minuman petang itu berasal dari Cameron Highlands.
serkap rotan
alat untuk memerangkap ikan di dalam air supaya mudah ditangkap yang diperbuat daripada rotan atau alat untuk menyungkup atau mengurung ayam, itik dsb yang diperbuat daripada rotan.
Contoh: Dia mengurung ayam jantan itu di dalam sebuah serkap rotan.

serunai buluh
alat bunyi-bunyian daripada buluh yang ditiup untuk mengeluarkan bunyi-bunyi yang merdu atau alunan lagu.
Contoh: Gembala kambing itu sedang meniup serunai buluh sambil menjaga kambing-kambingnya meragut rumput.

sikat rambut
alat bergigi-gigi halus untuk mengemaskan atau merapikan rambut.
Contoh: Selepas mandi, Balqis mengemaskan rambutnya dengan sebilah sikat rambut plastik.

simpang tiga
tempat jalan bercabang atau berpecah kepada tiga hala yang berlainan.
Contoh: Di simpang tiga jalan itu terdapat lampu isyarat.

siput babi
sejenis siput darat yang agak besar.
Contoh: Banyak pokok sawi yang ditanam oleh Mak Leha telah dimakan oleh siput babi.

sirih junjung
sejenis pokok memanjat yang daunnya berasa agak pedas yang disusun dan dijunjung di atas kepala.
Contoh: Gadis-gadis cantik itu membawa sirih junjung dalam suatu istiadat tradisional bagi mengiringi rombongan Perdana Menteri itu.

sirih pinang
suatu tanda peminangan atau barang-barang yang menjadi kebiasaan dibawa untuk melamar seseorang perempuan.
Contoh: Keluarga Hashim telah membawa sirih pinang ke rumah Encik Hadi sebagai tanda untuk melamar anak gadisnya itu.

songkok hitam
pakaian kepala yang diperbuat daripada baldu yang berwarna hitam dan dipakai oleh orang lelaki.
Contoh: Semasa mengenakan baju Melayu dan bersamping, songkok hitam juga tidak ketinggalan.

sotong kurita
sejenis hidupan laut yang lunak, bertulang belakang lembut, dan berjanggut.
Contoh: Sotong kurita amat enak jika digoreng berlada.



stesen bas
tempat atau pusat perhentian bas-bas untuk mengambil dan menurunkan penumpang-penumpang.
Contoh: Ramai penumpang sedang menunggu bas di stesen bas itu untuk ke destinasi masing-masing.

stesen kereta api
tempat khas bagi kereta api berhenti untuk mengambil dan menurunkan penumpang-penumpangnya.
Contoh: Stesen kereta api itu penuh sesak dengan orang ramai yang ingin pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing.

subang telinga
alat perhiasan yang dipakai pada cuping telinga atau anting-anting.
Contoh: Subang telinga yang dipakai oleh pengantin perempuan itu sangat cantik dan mahal harganya.

suku bangsa
golongan bangsa yang menjadi bahagian kepada bangsa yang besar.
Contoh: Pada Zaman Jahiliah, suku bangsa Arab suka berpuak-puak dan bermusuh-musuhan.

surat perjanjian
surat pengakuan antara beberapa pihak untuk menerima dan bersetuju tentang sesuatu perjanjian yang dibuat.
Contoh: Encik Firdaus menandatangani surat perjanjian pinjaman perumahan di hadapan saksi-saksinya itu.

surat sumpah
surat pengganti surat beranak yang hilang yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Contoh: Dia menggunakan surat sumpah untuk membuat kad pengenalan baharu kerana surat beranak asalnya telah hilang.

susu getah
cairan berwarna putih yang menyerupai susu yang keluar daripada pokok getah apabila batangnya ditoreh.
Contoh: Pak Mahat sedang mengandar dua buah baldi besar yang berisi susu getah dari kebun getahnya itu.

susu lembu
susu yang diperoleh daripada lembu apabila diperah.
Contoh: Susu lembu segar amat berkhasiat dan enak diminum.

susu segar
susu yang diperoleh daripada binatang ternakan yang belum diproses serta dicampur dengan bahan-bahan lain.
Contoh: Muthusamy amat gemar minum susu segar.



susu tepung
susu dalam bentuk tepung setelah diproses.
Contoh: Keluarga Puan Rosmina menggunakan susu tepung untuk menyediakan minuman bersusu kepada anak-anaknya.

tanah gambut
sejenis kawasan tanah yang banyak mengandungi karbon daripada tumbuh-tumbuhan yang reput.
Contoh: Tanaman nanas dan koko amat sesuai diusahakan di kawasan tanah gambut.

tanah pusaka
tanah sepeninggalan si mati untuk diwarisi oleh ahli-ahli keluarga si mati yang masih hidup.
Contoh: Hassan dan Harun bersetuju untuk memajukan tanah pusaka mereka itu.

tanda bacaan
simbol atau lambang yang digunakan dalam tulisan yang mempunyai erti dan fungsi tertentu seperti koma, noktah dsb.
Contoh: Beberapa orang murid mengabaikan tanda bacaan yang betul apabila menulis ayat-ayat dalam karangan mereka itu.

tandas awam
tempat untuk orang ramai atau orang awam membuang air kecil dan air besar.
Contoh: Tandas awam yang disediakan oleh pihak berkuasa di tepi stadium itu tidak dijaga kebersihannya.

tanduk kerbau
sepasang benda keras yang runcing di hujung yang tumbuh di kepala kerbau.
Contoh: Replika burung yang terletak di atas almari itu diperbuat daripada tanduk kerbau.


tanduk lembu
sepasang benda keras yang runcing di hujung yang tumbuh di kepala lembu.
Contoh: Sebelah daripada tanduk lembu itu telah patah.

tanduk rusa
sepasang benda keras yang bercabang-cabang yang tumbuh di kepala rusa.
Contoh: Hulu pisau itu diperbuat daripada tanduk rusa.

tangan kanan
tangan yang sebelah kanan atau pembantu utama dalam sesuatu urusan atau organisasi.
Contoh: Kita makan nasi dan memegang makanan-makanan lain dengan tangan kanan.



tangan kiri
tangan sebelah kiri kita.
Contoh: Kita dilarang memberikan sesuatu kepada seseorang dengan tangan kiri.

tapak rumah
kawasan tanah yang menjadi tempat membina rumah.
Contoh: Tapak rumah Encik Latiff sangat luas dan amat rata.

tarik tali
hela-menghela oleh dua orang atau dua kumpulan orang dengan menggunakan tali.
Contoh: Dalam acara tarik tali itu, pasukan pesara guru telah berjaya menjadi juara.

tayar bas
lingkaran getah yang berisi angin yang dipasang pada roda bas.
Contoh: Tayar bas itu perlu diganti kerana keadaannya sudah hampir licin.

teh susu
minuman yang diperbuat dengan menggunakan serbuk teh dan dicampurkan susu.
Contoh: Teh susu yang disediakan Mak Tam itu sungguh manis rasanya.

telur ayam
benda yang berbentuk lonjong mengandungi lembaga anak yang dikeluarkan oleh ayam betina hasil daripada proses persenyawaannya dengan ayam jantan.
Contoh: Telur ayam itu sudah digoreng oleh kakak.

telur burung
benda yang berbentuk lonjong mengandungi lembaga anak yang dikeluarkan oleh burung betina hasil daripada proses persenyawaannya dengan burung jantan.
Contoh: Semasa memanjat pokok rambutan itu, Azrul menemui beberapa biji telur burung di dalam sarangnya di atas pokok itu.

telur itik
benda yang berbentuk lonjong mengandungi lembaga anak yang dikeluarkan oleh itik betina hasil daripada proses persenyawaannya dengan itik jantan.
Contoh: Alias sedang mengutip telur itik di dalam reban itiknya untuk dijual di pasar tani.

telur penyu
benda yang berbentuk bulat seperti bola pingpong dan agak lembik kulitnya yang dikeluarkan oleh penyu betina hasil daripada persenyawaannya dengan penyu jantan.
Contoh: Telur penyu boleh diperoleh dengan banyaknya di pantai Rantau Abang, Terengganu pada musim penyu bertelur di pantai itu.
tempat tidur
sesuatu ruang atau bahagian yang tertentu atau dikhaskan untuk tidur.
Contoh: Tempat tidurnya bersih, kemas, dan amat selesa.

tempat tinggal
kawasan atau rumah yang didiami atau kediaman seseorang.
Contoh: Tempat tinggal Talib jauh dari bandar.

tempurung kelapa
lapisan kulit yang keras yang melindungi isi buah kelapa.
Contoh: Tempurung kelapa tua boleh dibuat barang-barang kraf tangan.

tepung beras
beras yang dikisar atau dimesin hingga menjadi debu putih atau tepung.
Contoh: Kuih talam itu diperbuat daripada tepung beras.

tepung gandum
biji-biji gandum yang dikisar atau dimesin hingga menjadi debu putih atau tepung.
Contoh: Bahan utama untuk membuat kek dan biskut ialah tepung gandum.

tepung pulut
debu putih atau tepung daripada beras pulut yang dikisar atau dimesin.
Contoh: Buah melaka diperbuat daripada tepung pulut.

tepung sagu
debu putih atau debu daripada tepung sagu yang dijemur kering.
Contoh: Tepung sagu dan ikan digunakan untuk membuat keropok.

terima kasih
ucapan untuk melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sesuatu kebaikan atau budi yang diterima.
Contoh: Amir mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Tiha kerana sudi datang menziarahi ibunya yang sakit.

tiang bendera
batang kayu, besi atau simen yang didirikan tegak untuk mengibarkan bendera.
Contoh: 'Jalur Gemilang'dan bendera negeri berkibar begitu megah di tiang bendera di hadapan pejabat itu.

tikar mengkuang
alas duduk atau alas tidur yang diperbuat daripada anyaman daripada daun mengkuang.
Contoh: Tikar mengkuang yang dianyam oleh nenek itu sungguh halus dan cantik buatannya.

tikar pandan
alas duduk atau alas tidur yang diperbuat daripada anyaman daun pandan.
Contoh: Tikar pandan lebih lembut rasanya daripada tikar mengkuang apabila diduduk.

tiket bas
kertas atau kad kecil yang menjadi bukti bahawa pembayaran telah dibuat untuk menaiki bas.
Contoh: Encik Sulaiman membeli tiket bas itu di kaunter tiket untuk pergi ke Kuala Lumpur.

tolok hujan
alat untuk mengukur atau menyukat kadar ketinggian hujan.
Contoh: Tolok hujan digunakan untuk mengira jumlah hujan di sesuatu tempat atau kawasan.

tombol pintu
pemutar atau pemegang untuk membuka pintu.
Contoh: Tombol pintu rumahnya itu diperbuat daripada tembaga.

topeng kertas
sesuatu yang dipakai untuk menutup muka yang berupa muka orang atau binatang dll yang diperbuat daripada kertas.
Contoh: Kanak-kanak itu memakai topeng kertas yang berupa muka 'Mr. Bean'.

topi besi
tutup kepala yang berbagai-bagai bentuk dan rupa yang diperbuat daripada besi untuk dipakai oleh askar.
Contoh: Askar-askar berkuda dalam filem itu memakai topi besi apabila hendak pergi berperang.

toreh getah
menggores kulit batang pokok getah dengan pisau khas untuk mengeluarkan susu getahnya.
Contoh: Kerja toreh getah di estet-estet getah biasanya dijalankan oleh kaum wanita.

tudung kepala
sesuatu yang digunakan untuk menutup bahagian kepala dan muka yang biasa dipakai oleh orang perempuan.
Contoh: Mariana memakai tudung kepala berwarna merah jambu.

tudung periuk
sesuatu yang digunakan untuk menutup periuk.
Contoh: Tudung periuk itu terangkat dan bergerak-gerak apabila nasi yang ditanak itu mula mendidih.

tudung saji
penutup makanan di atas meja yang diperbuat daripada daun mengkuang, plastik dll.
Contoh: Hidangan di atas meja itu ditutup oleh emak dengan tudung saji.
tukang besi
orang yang mahir membuat barang-barang atau pelbagai peralatan daripada besi.
Contoh: Tukang besi itu sedang menempa sebilah parang di bengkelnya itu.

tukang emas
orang yang mahir atau pandai membuat barang-barang kemas dll daripada emas.
Contoh: Rantai leher dan gelang tangan emas yang dipakai oleh Datin Rusni itu dibuat oleh tukang emas yang terkenal di bandar itu.

tukang jahit
orang yang pekerjaannya mengambil upah menjahit pelbagai jenis pakaian.
Contoh: Baju kebaya yang dipakai oleh Puan Rosmah itu dibuat oleh seorang tukang jahit yang termasyhur.

tukang kasut
orang yang mahir atau pandai membaiki dan membuat pelbagai jenis kasut.
Contoh: Tukang kasut di kaki lima itu sedang tekun membaiki kasut pelanggannya.

tukang kebun
orang yang bekerja menjaga kebersihan dan menceriakan kawasan rumah, sekolah atau pejabat dll.
Contoh: Tukang kebun sekolah itu sedang mencabut rumput-rampai di sekitar pokok-pokok bunga di hadapan pejabat sekolah.

tukang masak
orang gajian yang kerjanya memasak.
Contoh: Restoran itu menjadi tumpuan orang ramai kerana tukang masaknya amat pandai memasak.

tulang belakang
tulang yang beruas-ruas dari tengkuk hingga punggung di bahagian belakang atau seseorang yang menjadi harapan sesuatu kumpulan dan memberi kekuatan kepada sesuatu kumpulan.
Contoh: a. Kamarul menjadi lumpuh setelah tulang belakangnya patah akibat terlibat dalam suatu kemalangan. b. Encik Farid menjadi tulang belakang kepada persatuan peladang di daerah itu.

tulang kering
tulang betis di hadapan.
Contoh: Tulang kering Gunawan retak akibat berlanggar dengan Najmi dalam perlawanan bola sepak itu.

tulis tangan
mencatat atau menulis sesuatu dengan menggunakan pen, pensel dll atau dengan tangan.
Contoh: Oleh sebab ingin cepat, dia menyiapkan kerja kursusnya itu dengan hanya tulis tangan.


tutur kata
bahasa percakapan seseorang.
Contoh: Kita mesti menggunakan tutur kata yang baik dan halus apabila bercakap dengan ibu bapa kita.

ubat batuk
ubat untuk menyembuhkan penyakit batuk.
Contoh: Ibu pergi membeli ubat batuk di farmasi itu untuk menyembuhkan batuk adik itu.

udang galah
hidupan air yang berkulit keras beruas-ruas, berkaki sepuluh, dan berjanggut serta bersepit di kepala.
Contoh: Semasa menjala di dalam sungai itu, Pak Johar banyak mendapat udang galah.

udang harimau
sejenis udang yang kulitnya berbelang-belang.
Contoh: Udang harimau boleh diternak di dalam kolam khas.

ular kapak
sejenis ular kecil dan agak pendek yang berwarna hitam dan amat berbisa.
Contoh: Pekebun itu nyaris-nyaris dipatuk oleh seekor ular kapak semasa dia sedang membersihkan kebun kelapa sawitnya itu.

ular sawa
sejenis ular besar yang bertubuh berbatik-batik yang boleh membelit mangsanya dan tidak begitu berbisa.
Contoh: Seekor anak kambing sedang dibelit oleh seekor ular sawa di kebun datuk Bukhari.

ular tedung
sejenis ular yang amat berbisa dan boleh mengembangkan kepala dan tengkuknya.
Contoh: Anak lembu Pak Tajud telah mati kerana dipatuk oleh seekor ular tedung.

ulat bulu
ulat yang badannya berbulu dan apabila seseorang terkena bulunya akan berasa gatal dan perit.
Contoh: Dia tergaru-garu kerana terkena ulat bulu semasa memanjat pokok tadi.

umbut kelapa
pangkal pucuk kelapa yang lembut dan boleh dimakan.
Contoh: Pak Malid menebang pokok kelapa di belakang rumahnya itu untuk mengambil umbut kelapa.


urat darah
saluran kecil di dalam tubuh sebagai alat untuk membawa atau mengalirkan darah ke seluruh tubuh.
Contoh: Urat darah Pak Harun kelihatan timbul yang menandakan beliau kuat bekerja.

urat saraf
tisu yang menjadi alat perasa di dalam diri atau tubuh badan.
Contoh: Urat saraf pemuda yang cedera parah itu semakin lemah kerana dia mengalami pendarahan yang serius.
wakil rakyat
orang yang dipilih oleh rakyat di dalam pilihan raya untuk menjadi jurucakap di Parlimen atau di Dewan Undangan Negeri.
Contoh: Wakil rakyat bagi kawasan itu sentiasa mengambil berat tentang masalah dan kesulitan yang dialami penduduk kawasannya itu.

waktu rehat
tempoh masa tertentu untuk berehat atau menghilangkan kepenatan.
Contoh: Pada waktu rehat, Alyah dan Lina selalu pergi ke perpustakaan sekolah untuk membaca surat khabar atau meminjam buku.

waktu sembahyang
ketika atau masa yang tertentu atau telah ditetapkan untuk sembahyang atau solat.
Contoh: Fahmi sentiasa menjaga waktu sembahyangnya supaya dia tidak tertinggal untuk menunaikan sembahyang lima waktunya itu.

wang kertas
alat tukaran yang sah dan mempunyai nilai tertentu yang dibuat daripada kertas.
Contoh: Wang kertas negara kita mempunyai ciri-ciri keselamatan yang terjamin.

wang syiling
alat tukaran yang sah dan mempunyai nilai tertentu yang dibuat daripada logam.
Contoh: Kassim menyimpan wang syilingnya di dalam sebuah tabung logam.

yuran masuk
wang yang dibayar berkala atau pada waktu yang tetap dan jumlah tertentu untuk memasuki sesuatu persatuan, kelab, institusi dll.
Contoh: Yuran masuk untuk menjadi ahli kelab kebudayaan itu agak tinggi.

yu rimau
sejenis ikan laut daripada kumpulan jerung yang berbelang-belang tubuhnya.
Contoh: Sekumpulan nelayan pukat jerut itu berjaya menangkap yu rimau yang terperangkap di dalam pukat mereka.


yu todak
sejenis ikan laut daripada kumpulan jerung yang muncungnya panjang dan badannya agak tirus.
Contoh: Dua orang penyelam di dasar laut berbangsa Eropah itu telah tercedera kerana diserang oleh dua ekor yu todak sewaktu mengadakan penggambaran di dasar laut.

zip seluar
alat yang bergerigi untuk mengancing seluar, iaitu tanpa menggunakan butang.
Contoh: Puan Tini sedang menjahit zip seluar anaknya untuk menggantikan zipnya yang telah rosak.

zon bebas
kawasan yang tidak terikat kepada peraturan-peraturan biasa atau kawasan yang terkecuali daripada syarat-syarat tertentu.
Contoh: Para pelancong dari Pantai Barat Semenanjung sedang asyik membeli-belah di zon bebas cukai Pengkalan Kubor, Kelantan.

zon panas
kawasan atau lingkungan di permukaan bumi yang berada di sekitar garisan lintang
atau berdekatan Khatulistiwa yang bersuhu tinggi sepanjang tahun.
Contoh: Malaysia, Singapura, dan Filipina ialah antara negara yang terletak di zon panas dunia.

Zoo Negara
kawasan atau taman tempat berbagai-bagai jenis binatang dipelihara dan dijaga untuk tontonan atau dilihat orang ramai atau pengunjung-pengunjungnya yang terbesar di negara ini.
Contoh: Pada musim cuti sekolah, Zoo Negara menjadi tumpuan murid-murid untuk melihat pelbagai jenis haiwan yang terdapat di situ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan