mood


Fish

Isnin, 28 November 2011

Kata bidalan

KATA BIDALAN
Ada gula ada semut
 Di mana ada dara jelita di situlah ramai teruna. ii. Di mana mudah mencari rezeki di situlah terdapat orang ramai mencari.
Contoh: i. Memang di kedai Pak Muin itu ramai pelanggan, maklumlah ada gula adalah semut. ii. Negara kita ini umpama ada gula ada semut, itulah sebabnya ramai pendatang asing di sini.
Ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras
Segala kerja ditanggung siap jika ada upah.
Contoh: Bangunan sepuluh tingkat yang dibina oleh hartawan itu cepat siap, bak kata bidalan, ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras.
Ada periuk berkerak, ada lesung berdedak
Mempunyai harta yang tidak pernah habis.
Contoh: "Pak Haji Kassim itu hartanya tidak habis hendak dimakan kerana dia seorang hartawan", bak kata bidalan, ada periuk berkerak, ada lesung berdedak.
Ada ubi ada batas
Ada budi ada balas.
Contoh: Kalau kita menerima pertolongan daripada seseorang, jangan lupa bahawa dalam hidup ini ada ubi ada batas.
Ada udang di sebalik batu
Berbudi dengan ada tujuan tertentu.
Contoh: Berhati-hatilah apabila menerima pertolongan daripada seseorang kerana mungkin ada udang di sebalik batu.
Air ditetak tidak akan putus
Perkelahian antara saudara akhirnya berbaik semula.
Contoh: Pergaduhan antara Yati dengan Kartika itu sekejap sahaja, bak kata bidalan, bagai air ditetak tidak akan putus.
Air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang dituruti
Undang-undang hendaklah dipatuhi walau di mana kita berada.
Contoh: "Walau di mana kamu berada, ingatlah bahawa air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang dituruti," begitulah pesanan ibunya.
Air tenang jangan disangka tiada buaya
Jangan disangka orang pendiam itu tidak berbahaya.
Contoh: Kamu hendaklah berhati-hati apabila berjumpa Pak Moktar kerana air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
Alah bisa tegal biasa
Pekerjaan yang susah menjadi senang apabila selalu dibuat.
Contoh: Walaupun perkara itu sukar hendak dilakukan tetapi kalau sudah biasa tidaklah menjadi susah lagi, bak kata bidalan, alah bisa tegal biasa.


Alah jadi abu, menang jadi arang
Dalam suatu perbicaraan, kalah dan menang sama-sama menanggung rugi.
Contoh: Perkara itu kalau dibawa ke mahkamah sekalipun tidak mendapat faedah kerana alah menjadi abu, menang menjadi arang, kata Mahmud kepada Yusoff.
Alah membeli menang memakai
Membeli barang yang bermutu tinggi nilainya tetapi nilainya tahan lama.
Contoh: Biarlah mahal harganya asalkan selesa memakai, bagai kata bidalan, alah membeli menang memakai.
Alah pinta buat sempena
Sesuatu kejadian ada sebab-musababnya.
Contoh: Anggaplah kejadian lalu itu sebagai alah pinta buat sempena dan terima sahaja dengan hati yang terbuka.
Alang-alang mandi biarlah basah
Membuat sesuatu pekerjaan biarlah ada kesudahannya.
Contoh: Teruskan kerja-kerja kamu itu, alang-alang mandi biarlah basah, barulah dapat tahu hasilnya, kata Janet.
Alur bertempur, jalan berturut
Membuat sesuatu perkara hendaklah mengikut peraturan dan panduannya.
Contoh: Kalau hendak membuat sesuatu perkara biarlah ada peraturan, bak kata bidalan, alur bertempur jalan berturut.
Baik buat teladan, buruk buat sempadan
Perbuatan yang baik boleh diikuti, perbuatan yang tidak elok hendaklah dibuangkan.
Contoh: Kamu pergilah dengar ceramah itu, jika baik buat teladan, buruk buat sempadan, nasihat ibunya.
Bawa rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk
Semakin berilmu semakin merendahkan diri.
Contoh: Kamu ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk, Mak Lela menasihati anaknya.
Belakang parang diasah lagikan tajam
Orang yang bodoh jika diajar akan menjadi pandai pada akhirnya.
Contoh: Belakang parang diasah lagikan tajam, inikan pula anak kamu yang belum tahu cerdik bodohnya itu, kata Pak Dani kepada Asyraf.
Belum duduk sudah berlunjur
Membuat sesuatu perkara tidak mengikut peraturan.
Contoh: Kamu membuat kerja ini seperti belum duduk sudah berlunjur, itulah sebabnya tidak berjaya, kata Encik Sayuti.
Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau
Orang yang berilmu ke mana sahaja tetapi dihormati orang.
Contoh: jadilah orang yang berilmu kerana ke mana pergi kamu tetap menjadi seperti benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.


Berani kerana benar, takut kerana salah
Tidak perlu bimbang dan takut jika tidak mempunyai kesalahan.
Contoh: Kamu tidak perlu takut, jika kamu tidak membuat kesalahan, bagai kata bidalan berani kerana benar, takut kerana salah, kata Ganesh.
Berani malu takut mati
Tidak terasa terhina apabila melakukan perbuatan yang menghina diri sendiri, bangsa, negara, dan agama.
Contoh: Kamu ini diibaratkan berani malu takut mati kerana perkara terkutuk itu berani kamu lakukan, ujar Haji Said.

Berani mati takut malu
Sanggup berkorban apa sahaja demi menjaga maruah diri, bangsa, negara, dan agama.
Contoh: Saya rela mati demi menjaga maruah bangsa dan negara daripada dijajah, bak kata bidalan, berani mati takut malu, begitulah kata-kata sumpah setia seorang perajurit.

Berani menjual berani membeli
Berani menanggung akibat perbuatan sendiri.
Contoh: Saya sanggup tanggung apa yang saya buat, bak kata bidalan, berani menjual berani membeli, tegas Kamal.

Berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit
Membuat sesuatu pekerjaan hendaklah cara beransur-ansur,usaha dan tekun, akhirnya memperoleh kejayaan.
Contoh: Kamu boleh buka perniagaan dengan cara kecil-kecilan, bak kata bidalan, berdikit-dikit lama-lama menjadi bukit.

Berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat
Berfikir dahulu sebelum bertindak.
Contoh: Sebelum beri keputusan muktamad, ayah harap kamu berfikir sebelum berkata, berunding sebelum dibuat, kata Haji Salleh kepada anaknya.

Berhemat sebelum habis
Berhati-hati dalam urusan perbelanjaan.
Contoh: Ayah harap kamu berhemat sebelum habis kerana itulah sahaja wang yang ayah dapat usahakan.

Berhemat sebelum habis
Perbelanjaan dengan cara berhemah / berhati-hati.
Contoh: Kalau tidak berhemat sebelum habis tentulah akan menjadi papa kedana.

Biar jadi telinga tempayan, jangan jadi telinga kuali
Lebih baik mendengar nasihat daripada ajaran jahat.
Contoh: Ikutlah kata bidalan biar jadi telinga tempayan, jangan jadi telinga kuali agar hidup kamu akan selamat.


Biar lambat asalkan selamat
Bersabar dalam membuat sesuatu pekerjaan.
Contoh: Pandulah kereta itu perlahan-lahan, biar lambat asalkan selamat.

Biar mati anak, jangan mati adat
Sikap menghormati adat sendiri lebih daripada menghormati anak sendiri.
Contoh: Orang tua-tua kita bersungguh-sungguh mempertahankan adat kerana mereka berpegang pada bidalan biar mati anak, jangan mati adat.

Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut
Hendaklah menjaga kerahsiaan.
Contoh: Ingat rahsia ini biar pecah di perut, jangan pecah di mulut, Raju memberi amaran kepada Siva.

Biar penat badan asalkan senang hati
Rela menanggung susah bekerja asalkan hidup mewah.
Contoh: Danish sanggup bekerja keras kerana biar penat badan asalkan senang hati.

Biar rebeh jangan roboh
Biar rosak sedikit asal tidak kesemuanya.
Contoh: Biarlah rugi sedikit asalkan jangan rugi semua kerana bidalan ada mengatakan biar rebeh jangan roboh.

Biar sakit dahulu senang kemudian
Biar bersusah dahulu pasti mendapat kesenangan pada kemudian hari kelak.
Contoh: Kita harus belajar bersungguh-sungguh, bak kata bidalan, biar sakit dahulu senang kemudian, agar kelak kita berjaya dan hidup penuh kesenangan.

Binasa badan kerana mulut
Mendapat kesusahan disebabkan terlanjur kata.
Contoh: Berhati-hati apabila mengeluarkan kata-kata sebab binasa badan kerana mulut.

Binasa badan kerana penyakit, rosak bangsa kerana leka
Jika berkelakuan tidak baik akan memberi kesan kepada diri sendiri, keluarga, dan bangsa.
Contoh: Saya harap kamu jangan membuat perkara yang tidak elok sebab sebagaimana kata bidalan, binasa badan kerana penyakit, rosak bangsa kerana leka.

Buang yang keruh, ambil yang jernih
Berdamai dan melupakan perselisihan yang berlaku.
Contoh: Ayah harap kamu berdua ini ikutlah kata bidalan buang yang keruh ambil yang jernih, barulah rumah tangga kamu menjadi aman.





Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali
Membuat sesuatu kebaikan biarlah ada batasan.
Contoh: Ikutlah kata bidalan buat berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali, barulah kamu akan dihormati orang, nasihat Pak cik Shuib.

Buka mata pasang telinga, tutup mulut simpan di hati
Jangan masuk campur urusan orang lain, lihat dan dengar sahaja.
Contoh: Jangan masuk campur urusan orang, bak kata bidalan, buka mata pasang telinga, tutup mulut simpan di hati, barulah kamu tidak dimarah orang.

Bumi mana tidak ditimpa hujan
Dalam kehidupan seseorang sudah pasti mengalami masalah.
Contoh: Bersabarlah dan anggaplah kejadian itu adalah takdir Ilahi kerana dalam hidup ini bumi mana tidak ditimpa hujan.

Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar
Berhati-hati apabila berbicara perkara yang sensitif.
Contoh: Saya harap kamu berhati-hati apabila bercakap perkara yang sensitif, bak kata bidalan, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

Cermat semasa banyak, berjimat semasa sikit
Berbelanja biarlah kena pada tempatnya.
Contoh: Saya harap kamu jangan boros sangat, bak kata bidalan, cermat semasa banyak, berjimat semasa sedikit, barulah kamu hidup tidak sengsara.

Cicir dipungut, hilang dicari
Jangan membazir.
Contoh: Kita hendaklah berjimat cermat, bak kata bidalan, cicir dipungut, hilang dicari, barulah tidak membazir.

Dalam berselam, cetek bertimba
Tidak dapat banyak pun tidak mengapa, syukur apa yang ada.
Contoh: Kamu terimalah apa sahaja yang ada, bak kata bidalan, dalam berselam, cetek bertimba.

Daripada cempedak, baiklah nangka
Biarlah memiliki apa yang ada daripada tiada langsung.
Contoh: Saya terima sahaja apa yang ada kerana daripada cempedak, baiklah nangka.

Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah
Lebih baik mati daripada menanggung malu / derita sepanjang hayat.
Contoh: Saya tidak sanggup lagi bersama dengan dia kerana daripada hidup bercerminkan bangkai, lebih baik mati berkalang tanah, Joyah mengadu penderitaan hidupnya.

Daripada hidup bergelumang tahi, lebih baik mati bertimbun bunga
Rela mati mulia daripada hidup tetapi hina.
Contoh: Dia tidak sanggup lagi hidup terhina, bak kata bidalan, daripada hidup bergelumang tahi, lebih baik mati bertimbun bunga.

Daripada segenggam jadi segantang
Hendaklah sentiasa berusaha supaya hasil bertambah.
Contoh: Pak Malau gigih berusaha untuk menambah pendapatannya, bak kata bidalan, daripada segenggam jadi segantang.

Genggam bara api biar sampai jadi arang
Kalau melakukan sesuatu pekerjaan biar sehingga berhasil, walaupun menempuh halangan.
Contoh: Kalau kamu hendak berniaga, janganlah teragak-agak kerana kalau hendak genggam bara api biar sampai menjadi arang.

Geruh tak berbunyi, malang tak berbau
Sesuatu kejadian buruk yang menimpa tidak dapat dijangka bila akan berlaku.
Contoh: Bersabarlah atas musibah itu kerana geruh tak berbunyi, malang tak berbau.

Habis akal baru tawakal
Berusaha dahulu sebelum menyerah kepada takdir.
Contoh: Kamu haruslah berusaha sedaya upaya terlebih dahulu kerana habis akal baru tawakal.

Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga
Seseorang yang berbudi apabila mati tetap dikenang orang juga.
Contoh: Allahyarham Tun Abdul Razak tetap dikenang kerana jasanya begitu banyak kepada negara, bak kata bidalan, hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga.

Hati hendak semua jadi
Kuatkan keazaman pasti akan berjaya.
Contoh: Jikalau kita berusaha dengan bersungguh-sungguh tentu akan berjaya kerana hati hendak semua jadi.

Hendak kaya berdikit-dikit, hendak besar bertabur hurai
Jika mahu kaya perlu berjimat, jika mahu pangkat hendaklah murah hati dan menabur jasa.
Contoh: Jika ingin mencapai cita-cita, kita haruslah berusaha kerana hendak kaya berdikit-dikit, hendak besar bertabur hurai.



Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
Jika berhajat sesuatu berusaha dengan sungguh-sungguh, sebaliknya pelbagai alasan diberi jika tidak mahu.
Contoh: Saya tahu dia berdolak-dalik untuk membuat kerja itu kerana hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Hendak tahu baik, tanyalah kawannya, hendak tahu jahat tanyalah musuhnya
Untuk mengetahui kebaikan dan keburukan seseorang hendaklah tanya kepada kawan dan lawan.
Contoh: Berhati-hatilah sebelum berkawan dengan seseorang kerana bidalan ada mengatakan kalau hendak tahu baik, tanyalah kawannya, hendak tahu jahat tanyalah musuhnya.

Hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa
Pokok dihargai kerana hasilnya, manusia dikenang kerana jasanya.
Contoh: Saya harap kamu hendaklah membuat jasa kepada bangsa dan negara, bak kata bidalan, hidup kayu berbuah, hidup manusia biar berjasa, pesan Cikgu Saufi

Hilang adat tegal muafakat
Pegangan adat yang kuat itu dapat ditinggalkan jika semua bermuafakat.
Contoh: Bagaimana kuat adat yang dipegang sekalipun, kalau mereka bermuafakat hendak buang adat itu, tetap hilang juga kerana bidalan ada mengatakan hilang adat tegal maufakat.

Indah khabar dari rupa
Lebih cerita daripada keadaan sebenar.
Contoh: Keindahan tempat peranginan itu hanya indah khabar dari rupa kerana keadaan sebenarnya tidak sama sebagaimana yang dikatakan.

Ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis
Berhati-hati dalam sesuatu perkara sebelum mendapat padah.
Contoh: Usup, kamu hendaklah beringat-ingat sebelum kena, jimat sebelum habis, apabila berada di perantauan, pesan ayahnya.
Ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis
Hendaklah sentiasa berwaspada supaya tidak menyesal kemudian.
Contoh: Kamu hendaklah berjimat cermat kerana lebih baik ingat sebelum kena, jimat sementara belum habis, Encik Jais menasihati anaknya.

Isi dada bekal berjalan
Mencari ilmu supaya hidup di dunia dan akhirat tidak terhina.
Contoh: Kamu hendaklah belajar bersungguh-sungguh semoga hidup tidak kecewa kelak, bak kata bidalan, isi dada bekal berjalan.


Jangan bercermin di air keruh
Jangan ikut melakukan perbuatan yang buruk.
Contoh: Kamu jangan bercermin di air keruh, nanti kamu pula yang menerima kesan buruknya kelak.

Jangan digenggam seperti bara, terasa hangat dilepaskan
Melakukan sesuatu perkara biarlah sehingga selesai.
Contoh: Kalau hendak buat sesuatu biarlah bersungguh-sungguh, jangan digenggam seperti bara, terasa hangat dilepaskan.

Jangan meludah ke langit
Jangan melakukan sesuatu perkara yang boleh memalukan diri sendiri.
Contoh: Jagalah kelakuan kamu dan jangan meludah ke langit, jika kamu tidak mahu berasa malu.

Jangan memanah ke langit
Jangan menderhaka kepada pemerintah kelak binasa diri.
Contoh: Saya harap kamu jangan memanah ke langit kerana akibatnya ialah membinasakan diri kamu sendiri, kata Cikgu Rusdi.

Jangan mengukur baju orang di badan sendiri
Jangan samakan diri orang lain dengan kita sendiri.
Contoh: Jangan samakan diri kamu dengan anak orang kaya itu, bak kata bidalan, jangan mengukur baju orang di badan sendiri.

Jangan merempuh sarang lebah
Jangan sengaja mencari bahaya.
Contoh: Jangan merempuh sarang lebah, kalau tidak mahu menanggung akibat buruknya.

Jangan puntung berasap juga
Jangan ungkit kembali perkara yang sudah-sudah.
Contoh: Lupakanlah peristiwa lama itu dan jangan puntung berasap juga.

Jangan seperti si buta mematah tongkat
Jangan bermusuh dengan orang yang banyak membantu kita.
Contoh: Saya harap kamu janganlah seperti si buta mematah tongkat kerana kelak kamu juga akan menanggung kesusahan.

Jauhari juga yang mengenal manikam
Orang yang pakar dalam sesuatu bidang juga dapat mengenali baik buruk mutunya.
Contoh: Orang yang mahir dalam bidang ini sahaja dapat menilainya, bak kata bidalan, jauhari juga yang mengenal manikam.

Jauh dari mata, jauh dari hati
Saudara mara rapat tetapi tinggal berjauhan serta kurang pula berhubung, akan menyebabkan rasa kasih sayang bertambah kurang.
Contoh: Sebagaimana kata bidalan, jauh dari mata, jauh dari hati, begitulah keadaan kami dengan saudara-mara semenjak kami berpindah ke Kedah.

Jika hati tak suka, madu diminum terasa cuka
Orang yang susah hati tidak akan baik walaupun diberikan sesuatu yang baik.
Contoh: Susah hendak memujuk Mei Fern yang sedang bersedih itu kerana jika hati tak suka, madu diminum terasa cuka.

Jikalau menampi, jangan tumpah padinya
Berhati-hati dalam membuat pilihan agar tidak menyesal nanti.
Contoh: "Berhati-hatilah jika hendak memilih bakal suami, bak kata bidalan, jikalau menampi, jangan tumpah padinya," pesan Mak Leha kepada anak perempuannya.

Jika tiada wang, kawan yang rapat menjadi renggang
Apabila seseorang dalam kesusahan sahabat atau keluarganya tidak mempedulikannya lagi.
Contoh: Apabila sudah miskin, susah hendak mendapatkan pertolongan daripada sesiapa pun kerana jika tiada wang, kawan rapat menjadi renggang.

Kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga
Jangan melakukan sesuatu perkara yang tidak termampu.
Contoh: Saya sudah agak kamu tidak akan berjaya melakukan perkara itu kerana kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga.

Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
Orang miskin mencari rezeki untuk menyara hidup seharian sahaja.
Contoh: Kasihan lelaki miskin itu kerana dia terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kalau baik buat teladan, kalau tidak baik buat sempadan
Contohi perkara yang baik, jangan teladani yang buruk.
Contoh: Dalam hidup ini kamu harus sentiasa ingat, kalau baik buat teladan, kalau tidak baik buat sempadan.

Kalau baik disebut baik, kalau jahat disebut jahatlah
Kalau baik dikenang orang, kalau jahat dihina orang
Contoh: Kamu hendaklah sentiasa berakhlak mulia kerana hidup ini kalau baik disebut baik, kalau jahat disebut jahatlah.


Kalau bukan rezeki, dalam mulut pun boleh keluar
Kalau bukan hak kita tetap dapat ke tangan orang lain
Contoh: Jangan marah-marah, anggaplah itu sebagai takdir, lagipun rezeki ini di tangan Allah kerana kalau bukan rezeki, dalam mulut pun boleh keluar, nasihat Mustaffa kepada Jamal.
Kasihkan anak tangan-tangankan, kasihkan isteri tinggal-tinggalkan
Jangan terlampau manjakan kepada seseorang yang disayangi.
Contoh: Anak-anak hendaklah dididik dengan baik dan jangan terlalu manjakan mereka, bak kata bidalan, kasihkan anak tangan-tangankan, kasihkan isteri tinggal-tinggalkan.

Kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan
Jangan membiarkan bahaya makin bertambah kelak bahaya tidak terkawal.
Contoh: Kamu harus cegah masalah itu sekarang, jangan sampai menjadi lebih buruk lagi kerana kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan.

Kepala sama hitam, hati lain-lain
Fikiran berbeza antara satu dengan lain.
Contoh: Jangan mudah percaya pada kata-kata orang itu, maklumlah kepala sama hitam, hati lain-lain.

Kerja beragak tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan
Melakukan kerja secara berlengah tidak akan berhasil, tetapi jika dilakukan demi sedikit akan siap juga.
Contoh: Buatlah kerja itu sekarang kerana kerja beragak tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan.

Kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek
Keutamaan diberi kepada tugas rasmi, tugas-tugas lain dikemudiankan.
Contoh: Kamu mesti laksanakan tugas rasmi ini dahulu sebelum membuat kerja kamu sendiri, bak kata bidalan, kerja raja dijunjung, kerja sendiri dikelek.

Ke tengah boleh, ke tepi pun boleh
Orang yang boleh menyesuaikan diri mengikut keadaan dan tempat.
Contoh: Pak Mail dihormati oleh orang-orang kampung kerana dia ke tengah boleh, ke tepi pun boleh.

Kita semua akan mati, kubur masing-masing
Pelbagai cara untuk menyara hidup tetapi ia mengikut kebolehan dan rezeki masing-masing.
Contoh: Lakukanlah apa sahaja kerja, asalkan kamu rajin kerana bidalan ada mengatakan kita semua akan mati, kubur masing-masing.






Lain diacah, lain yang jadi
Lain yang dihasratkan lain pula yang dapat.
Contoh: Fazil berhasrat hendak kahwin dengan anak dara Haji Mahat tetapi dikahwinkan dengan anak jandanya, bak kata bidalan, lain diacah, lain yang jadi.

Lain diniat, lain ditakdirkan
Pada mula rancangan lain dan berkesudahan yang lain.
Contoh: Pada awal rancangan, mereka membajak hendak tanam tebu, tetapi disebabkan oleh sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan, rancangan itu ditukar dengan menanam tembakau, bak kata bidalan, lain diniat, lain ditakdirkan.

Lemak manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan
Jangan mudah terpedaya.
Contoh: Jangan mudah percaya pada pujukan orang kerana lemak manis jangan ditelan, pahit jangan dimuntahkan.

Makin murah makin menawar
Orang yang tamak jika diberi ia mahu lebih lagi.
Contoh: Susah hendak melayan orang tamak kerana makin murah makin menawar.

Malas bergarit perut perit
Orang yang malas berusaha hidup menanggung kesusahan
Contoh: "Kamu janganlah jadi bagai kata bidalan malas bergarit perut perit, nanti mati kebuluran pula," sindir Mak cik Siah.

Malas mendayung perahu hanyut
Orang yang malas berusaha pasti hidupnya melarat
Contoh: Kalau kamu malas berusaha, sampai bila pun kamu akan terus hidup miskin kerana malas mendayung perahu hanyut.

Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa
Manusia hanya mampu berusaha dan berikhtiar tetapi Tuhan yang menentukan nasib / rezekinya.
Contoh: Kita ini hanya boleh merancang dan berusaha sahaja sebagaimana kata bidalan manusia punya asa, Tuhan punya kuasa.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Hendaklah menyesuaikan diri dengan keadaan.
Contoh: Ayah harap kamu pandai-pandai menjaga diri, ikutlah kata bidalan masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak, pesan Haji Nan kepada anaknya.





Mata tak boleh dilawan berjanji
Tidak berfaedah berjanji dengan orang tidak tetap pendirian.
Contoh: Saya memang tidak pernah mempercayai janji Bakar kerana saya tahu mata tak boleh dilawan berjanji.

Mati tidak kerana sumpah, hidup tidak kerana kaul
Untung baik atau buruk itu berlaku dengan takdir dan penentuan Allah.
Contoh: Anggaplah peristiwa sedih itu sebagai suratan takdir kerana mati tidak kerana sumpah, hidup tidak kerana kaul.

Melentur aur biar dari rebung
Mendidik anak biarlah pada waktu kecil lagi.
Contoh: Anak-anak haruslah dididik dengan akhlak mulia semenjak kecil lagi kerana kalau hendak melentur aur biar dari rebung.

Melepaskan batuk di tangga
Melakukan sesuatu perkara dengan tidak bersungguh-sungguh.
Contoh: Kamu semua membuat kerja seperti melepas batuk di tangga sahaja kerana hasil kerja ini tidak sempurna, Encik Amin memarahi anak buahnya.

Memikul di bahu, menjunjung di kepala
Membuat sesuatu perkara biarlah pada tempatnya.
Contoh: Cikgu harap kamu buat kerja kena pada tempatnya, bak kata bidalan, kalau memikul di bahu, kalau menjunjung biarlah di kepala, kata Cikgu Kefli
Menanam tebu di bibir mulut
Pujian yang tidak ikhlas.
Contoh: Saya tahu pujian itu tidak ikhlas seperti menanam tebu di bibir mulut sahaja.
Mencurahkan garam ke laut
i. Melaku kerja yang sia-sia. ii. Orang kaya tidak menilai pemberian orang.
Contoh: i. Kerja-kerja kamu itu tidak berfaedah, bak kata bidalan, mencurah garam ke laut. ii. Pemberian kamu kepada orang jutawan itu sepertilah mencurah garam ke laut.

Mengaji dari alif, menghitung dari satu
Belajar sesuatu hendaklah dari peringkat awal.
Contoh: Kerja sukar ini boleh dilakukan, jika kamu sanggup mengaji dari alif, menghitung dari satu.

Naik dari janjang, turun dari tangga
Kerja mengikut peraturan.
Contoh: Kerja ini harus dilakukan satu persatu seperti naik dari janjang, turun dari tangga.

Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai bertabur urai
Pandai berjimat jadi kaya, suka membuat kebajikan akan membawa tuah.
Contoh: Masa hadapan kamu terletak pada usaha kamu sendiri kerana kalau nak kaya berdikit-dikit, nak ramai bertabur urai.

Nan elok dipakai, nan buruk dibuang
Ambil yang baik sahaja.
Contoh: Hal ini terpulanglah kepada kamu, bak kata bidalan, nan elok dipakai, nan buruk dibuang.

Nasi sudah menjadi bubur
Kerosakan yang tidak dapat dibaiki lagi.
Contoh: Tiada faedahnya kamu hendak membaiki kerosakan itu lagi kerana nasi sudah menjadi bubur.

Orang baru kaya jangan dihutangi, orang baru kahwin jangan ditandangi
Seseorang yang memperoleh sesuatu kebahagiaan jangan diganggu.
Contoh: Saya harap kamu jangan ganggu dia, maklum sahajalah dia itu bak kata bidalan orang baru kaya jangan dihutangi, orang baru kahwin jangan ditandangi.
Orang berbudi, kita berbahasa
Orang membuat baik kita hendaklah balas baik.
Contoh: Budi baik orang kepada kita haruslah kita kenang kerana orang berbudi, kita berbahasa.
Orang bodoh boleh diajar, orang bebal hilang bicara
Orang yang tahu kelemahannya jika diajar menjadi pandai, sebaliknya orang yang bebal tidak mempunyai harapan untuk pandai.
Contoh: Susah saya hendak katakan kepada kamu ini, langsung tidak dengar nasihat orang, bak kata bidalan, orang bodoh boleh diajar, orang bebal hilang bicara, kata Mak Jamilah.
Orang kaya jangan diangan-angankan, orang miskin jangan dihinakan
Si kaya boleh jadi papa, si miskin boleh jadi kaya
Contoh: Kamu jangan mengata-ngatakan orang sebab Tuhan Maha Berkuasa, bak kata bidalan, orang kaya jangan diangan-angankan, orang miskin jangan dihinakan.
Orang menanam pokok, belum tentu dapat makan buahnya
Apabila melakuklan sesuatu pekerjaan yang baik janganlah mengharap mendapat faedahnya dalam masa yang terdekat.
Contoh: Kerja itu memang belum mendatangkan untung kerana orang menanam pokok, belum tentu dapat makan buahnya.
Orang pemalas susah makan
Orang yang malas bekerja tidak akan dapat faedahnya.
Contoh: Rajin-rajinlah bekerja dan jangan jadi orang pemalas susah makan, pesan Pak Su kepada anak buahnya.
Orang pindah-pindahan, tanaman tak dapat dirasa
Seseorang yang suka tukar-tukar pekerjaan tidak akan dapat kejayaannya.
Contoh: Encik Hakim berasa menyesal bertukar kerja kerana orang pindah-pindahan, tanaman tak dapat dirasa.
Orang tempang jangan dicacat, ingat pula hari belakang
Jangan mengejek seseorang yang timpa bencana kerana mungkin akan berlaku ke atas kita pula.
Contoh: Jaga sedikit kata-kata kamu itu, bak kata bidalan, orang tempang jangan dicacat, ingat pula hari belakang, nanti kamu pula yang menyesal.

Padang perahu di laut, padang hati di fikiran
Kebaikan atau keburukan sesuatu pekerjaan bergantung kepada perasaan dan fikiran kita sendiri.
Contoh: Kamu fikirkanlah sendiri baik atau buruk perbuatan kamu itu kerana padang perahu di laut, padang hati di fikiran.
Pagi tidak dibuang, senja tidak dikejar
Tidak mahu membuang masa.
Contoh: Encik Sim Fan mengarah anak buahnya supaya gigih membuat kerja, bak kata bidalan, pagi tidak dibuang, senja tidak dikejar kerana kesuntukan masa untuk menyiapkan projek itu.
Pipit itu, pipit jugalah lawannya
Sesuai dengan taraf seseorang
Contoh: Perjodohan suami isteri biarlah sama padan, bak kata bidalan, pipit itu, pipit jugalah lawannya.
Pukul anjing tengok-tengok tuannya dulu
Berhati-hati apabila melaklukan sesuatu tindakan.
Contoh: Kalau membuat sebarang tindakan hendaklah berhati-hati, bak kata bidalan, pukul anjing tengok-tengok tuannya.
Rajin bekerja, mudah belanja
Rajin bekerja rezeki bertambah dan hidup mewah
Contoh: Sekarang Johari hidup mewah semenjak dia bekerja di kilang perabot itu, bak kata bidalan, rajin bekerja mudah belanja.
Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak
Membuat penyelesaian dengan penuh penelitian dan adil.
Contoh: Buatlah penyelesaian dengan sebaik mungkin bagai tarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Ringan tulang, berat perut
Rajin, usaha, dan tekun, bekerja akan murah rezeki
Contoh: Rajin-rajinlah bekerja kerana ringan tulang, berat perut.
Rupa tak dapat diubah, fiil dapat dipinda
Rupa tetap berkekalan perangai boleh diubah.
Contoh: Kamu boleh menjadi orang berakhlak mulia kerana rupa tak dapat diubah, fiil dapat dipinda.
Sambil menyelam minum air
Membuat dua pekerjaan dalam satu masa.
Contoh: Pak Emran itu betul-betul sambil menyelam minum air kerana dia menanam padi sambil berkebun sayur.
Sarang tebuan jangan dijolok
Bahaya jangan dicari.
Contoh: Jangan kacau Pak Lim yang bengis itu, bak kata bidalan, sarang tebuan jangan dijolok, nanti padah kamu.
Sebab buah kenalan pokoknya.
Rupa, bunyi pertuturan, dan perangai seseorang menunjukkan asal usulnya.
Contoh: Saya tahu dia itu seorang bangsa Cina kerana percakapan dan perangainya, bak kata bidalan, sebab buah kenalan pokoknya.

Sediakan payung sebelum hujan
Hendaklah sentiasa berwaspada sementara belum mendapat kesusahan.
Contoh: Kamu hendaklah sentiasa berwaspada, bak kata bidalan, sediakan payung sebelum hujan, nasihat Encik Hanif.
Sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit
Sikap suka menabung sedikit-sedikit akhirnya menjadi kaya.
Contoh: Pak Haji Ramlan sekarang sudah menjadi orang kaya kerana dia suka menabung, bak kata bidalan, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.
Segan berkayuh perahu hanyut
Orang yang malas bekerja akan mendapat kesusahan dalam kehidupan.
Contoh: Jangan ikut perangai pemalas nanti merana badan, bak kata bidalan, segan berkayuh perahu hanyut.
Segan bertanya sesat jalan
Orang yang malas berusaha akan mendapat kesusahan.
Contoh: Jika kamu malas berusaha, kamu akan menjadi orang susah kerana segan bertanya sesat jalan.
Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain
Rajin dan usaha akan mendapat kejayaan.
Contoh: Tekunlah berusaha jika ingin memperolehi kejayaan, bak kata bidalan, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
Mengambil keputusan yang baik agar tidak mendapat kesusahan pada kemudian hari.
Contoh: Kamu hendaklah berfikir sebelum membuat keputusan, bak kata bidalan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, kata Encik Bakar.
Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan
Setelah sedar melakukan kesilapan segeralah berubah dan tidak mengulangi lagi.
Contoh: Kamu masih belum terlambat untuk memperbetul kesalahan itu kerana sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.
Siapa menjadi raja, tangan kita ke dahi juga
Sebagai rakyat jelata, kita perlulah taat di bawah pemerintahan pemimpin.
Contoh: Kita hendaklah patuh kepada yang memerintah, tidak kira siapa, bak kata bidalan, siapa menjadi raja, tangan kita ke dahi juga.
Si malas makanan si rajin
Orang yang malas sentiasa ketinggalan.
Contoh: Janganlah kamu jadi seperti kata bidalan si malas makanan si rajin, akibatnya kamu sentiasa ketinggalan dalam hidup.
Si tidur makanan si jaga
Seseorang yang lalai leka sentiasa ditipu oleh orang yang cerdik.
Contoh: Jangan kamu jadi seperti kata bidalan si tidur makanan si jaga, agar kamu tidak mudah tertipu.
Sudah jatuh ditimpa tangga
Sentiasa mendapat kemalangan / kecelakaan.
Contoh: Pak Riffin menerima nasib sudah jatuh ditimpa tangga kerana selang sehari selepas isterinya meninggal dunia, rumahnya pula terbakar.

Sudah terhantuk baru tengadah
Sudah mendapat kemalangan baru hendak berjaga-jaga.
Contoh: Saya harap kamu berhati-hati membuat kerja itu kerana jangan sampai sudah terhantuk baru tengadah.
Tali jangan putus, kaitan jangan sekah
Menyelesaikan masalah dengan bijaksana dan adil.
Contoh: Saya percaya Cikgu Halimah dapat menyelesaikan masalah ini dengan baik, kata bidalan, tali tidak putus, kaitan jangan sekah.
Tepuk tangan sebelah tak akan berbunyi
Sesuatu kejadian itu tidak akan berlaku daripada satu pihak sahaja.
Contoh: Dalam hal ini, kita jangan menyalahkan satu belah pihak sahaja kerana tepuk tangan sebelah tak akan berbunyi.
Tidak ada meriam, baik diam. Tidak ada lela, baik merela
Kalau tidak berilmu dalam sesuatu bidang jangan berlagak tahu kerana lama-kelamaan diketahui orang.
Contoh: Kalau saudara tidak ada meriam, baik diam, tidak ada lela, baik merela.
Tidak dapat dibaiki, jangan dirosakkan
Jika tidak mampu membaiki jangan dirosakkan pula.
Contoh: Peti sejuk itu biarkan di situ, bak kata bidalan, tidak dapat dibaiki, jangan dirosakkan.
Tidak ikut kata orang tua, tak patah, liat
Jika suka membantah orang tua pasti akan mendapat kesusahan.
Contoh: Kata-kata nasihat orang tua jangan dibantah kerana kelak buruk akibatnya, bak kata bidalan, tidak ikut kata orang tua, tak patah, liat.
Ukur baju di badan sendiri
Membuat sesuatu perkara hendaklah dalam kemampuan sediri.
Contoh: Kalau membuat sesuatu perkara hendaklah dengan kemampuan kita, bak kata bidalan, ukur baju di badan sendiri.
Usul-usul, asal-asal, asal jangan ditinggalkan
Dalam semua hal, ingat akan usul asalnya.
Contoh: Sebanyak mana ilmu di dada, setinggi mana pangkat disandang, kampung halaman jangan dilupakan, bak kata bidalan, usul-usul, asal-asal, asal jangan ditinggalkan.
Yang baik diguna, yang buruk dibuang
Pandai-pandai memilih sesuatu yang sesuai.
Contoh: Jika membuat pemilihan hendaklah memilih yang sesuai, bak kata bidalan, yang baik diguna, yang buruk dibuang.

Yang dimakan rasa, yang dilihat rupa, yang didengar bunyi
Melakukan sesuatu pekerjaan biarlah sempurna.
Contoh: Kamu hendaklah membuat kerja kena pada tempatnya, bak kata bidalan, yang dimakan rasa, yang dilihat rupa, yang didengar bunyi, barulah mendatangkan hasil yang baik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan